UMSC bekerjasama IPT awam, swasta lahirkan jururawat berkaliber

Norzaiton (enam dari kanan) bersama barisan wakil yang menandatangani MoU dan LoI daripada IPT awam dan swasta pada majlis yang diadakan di Kota Kinabalu.
Norzaiton (enam dari kanan) bersama barisan wakil yang menandatangani MoU dan LoI daripada IPT awam dan swasta pada majlis yang diadakan di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - University Malaya Specialist Centre (UMSC) menjalin kerjasama dengan lapan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk di Sabah menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif UMSC, Norzaiton Senusi berkata, kerjasama itu membabitkan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya, City University Malaysia, Kumpulan Pendidikan Nirwana, MAHSA University dan Kolej Cyberjaya Sabah.

"Tujuan program hari ini adalah bagi menandatangani dan memeterai MoU dan surat hasrat (LoI) untuk menjalinkan kerjasama dengan IPT Sabah, khususnya dalam bidang pendidikan dan profesion berkaitan rawatan kesihatan.

"MoU dan LoI ini menetapkan rangka kerja dan menggariskan komitmen bersama kami termasuk menyediakan kepakaran, tenaga kerja, maklumat dan sokongan yang diperlukan antara satu sama lain yang merangkumi pembangunan bakat dalam bidang kejururawatan melalui latihan, latihan, dan program pembangunan kerjaya," katanya ketika berucap pada majlis itu di sini.

Katanya lagi, menerusi kerjasama itu semua pihak terlibat dapat melahirkan barisan jururawat yang berkaliber dan cemerlang dalam peranan mereka dan sekali gus dapat memberikan penjagaan pesakit yang terbaik.

Mengulas lanjut, Norzaiton berkata bidang kerjasama itu termasuk membabitkan institusi yang terlibat yang akan menyediakan platform bagi menghubungkan pelajar kejururawatan dan alumni dengan pihak UMSC bagi tujuan pekerjaan.

"Selain itu, UMSC akan menyediakan penempatan praktikal dan kerja untuk jururawat yang lulus dari institusi tersebut.

"UMSC juga menyediakan semua latihan sambil bekerja yang diperlukan dalam meningkatkan kemahiran Jururawat yang lulus dari institusi terlibat malah biasiswa untuk pelajar kejururawatan terpilih juga disediakan oleh UMSC," katanya.

Norzaiton turut berkata, sebagai sebuah 'Malaysia's Premier Quaternary Hospital' yang telah beroperasi selama 25 tahun, UMSC menawarkan serta memfokuskan pada kes rawatan yang kompleks serta telah menjadi pusat rujukan untuk hospital tertiary yang dipercayai untuk mengendalikan kes perubatan dan pembedahan yang kompleks.

"UMSC telah dipilih sebagai pemenang untuk Graduates’ Choice Award (GCA). Pengiktirafan ini berdasarkan undian 100 peratus daripada pelajar universiti di seluruh negara dan UMSC dinamakan sebagai salah satu majikan siswazah yang paling utama untuk bekerja dalam kategori industri kesihatan," katanya.

Tambah beliau lagi, salah satu komponen utama MoU ini ialah penyediaan biasiswa pendidikan UMSC untuk pelajar kejururawatan peringkat diploma dan ijazah kejururawatan.

Menurutnya Norzaiton, biasiswa itu akan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar kejururawatan yang memenuhi syarat kemasukan dan menunjukkan komitmen terhadap kecemerlangan dalam pengajian mereka.

"Sejumlah RM500,000 dana akan disalurkan kepada 70 individu yang berkelayakan yang meliputi yuran pendidikan, bonus akademik, elaun buku, penginapan dan faedah perubatan telah disediakan oleh UMSC pada tahun ini.

"Kesemua pemegang biasiswa UMSC ini juga akan mendapat jaminan kerja di hospital kami sebaik tamat pengajian mereka nanti," katanya.

Beliau dalam pada itu turut memaklumkan bahawa UMSC juga akan mengadakan sesi temu duga secara 'walk-in' pada 22 hingga 25 Jun ini di Le meridian Kota Kinabalu.