Mansuh tol: Kemudahan infrastruktur lebuh raya mungkin terjejas

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mungkin tidak dapat menjamin kemudahan infrastuktur lebuh raya yang selesa dan baik seperti yang dinikmati ketika ini sekiranya pemansuhan tol dilakukan secara drastik.

Pensyarah Pusat Pengajian Perniagaan dan Pengurusan Maritim, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Roshaiza Taha berkata, cadangan itu dilihat masih belum sesuai dilaksanakan dalam keadaan ekonomi sekarang.

“Ini kerana melalui kutipan tol itulah digunakan kerajaan untuk membiayai kos penyelenggaran lebuh raya termasuklah jalan rosak.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan belum mampu mansuhkan tol: Tun M

“Saya percaya jika cadangan untuk memansuhkan tol tanpa perancangan teliti pasti akan memberi bebanan kewangan yang tinggi kepada kerajaan.

“Malah, pastinya kesan itu juga akan ditanggung rakyat kerana apabila kerajaan mengumumkan untuk mansuhkan tol, ia secara tidak langsung memberi isyarat rakyat juga perlu bersedia untuk menanggung kos yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas perkara sama, Roshaiza turut mencadangkan supaya kerajaan mengurangkan caj secara beransur-ansur berbanding memansuhkan secara tergesa-gesa.

“Langkah ini dilihat lebih baik untuk memberi ruang kepada kerajaan untuk mencari sumber alternatif lain.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi kita juga sedia maklum bahawa untuk mencari sumber kewangan lain dalam keadaan ekonomi tidak menentu ini akan mengambil masa.

“Namun, ia lebih baik berbanding tindakan yang drastik (mansuhkan tol) yang pastinya akan mengembalikan bebanan kepada rakyat juga selepas itu,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mungkin berdepan dengan masalah untuk melaksanakan pembangunan lain sekiranya pemansuhan tol dilakukan tanpa kajian terperinci.

Jelasnya lagi, dengan kewangan negara yang tidak menentu ketika ini adalah mustahil untuk perkara itu dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan sudah memulakan proses rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi lebuh raya sebagai langkah pertama ke arah menghapuskan mekanisme kutipan tol.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, rundingan itu membabitkan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Melalui inisiatif yang diperkenalkan itu, pengguna lebuh raya hanya akan dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada pada waktu puncak selama enam jam sehari.