Kluster Taman Waja: 49 daripada 250 positif Covid-19

Penduduk Flat Taman Waja menerima sumbangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Pilah yang diagihkan oleh anggota APM daerah Kuala Pilah Khamis lepas. - Foto Pejabat Kesihatan Kuala Pilah
Penduduk Flat Taman Waja menerima sumbangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Pilah yang diagihkan oleh anggota APM daerah Kuala Pilah Khamis lepas. - Foto Pejabat Kesihatan Kuala Pilah
A
A
A

KUALA PILAH - Seramai 49 daripada 250 individu di Flat Taman Waja disini yang diarahkan menjalani saringan pengawasan secara bersasar pada 14 dan 18 Julai lepas didapati positif Covid-19 melibatkan Kluster Taman Waja.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah ( JKPBD ) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, mereka yang disahkan positif itu telah dibawa mendapatkan rawatan lanjut di hospital mengikut kategori kes.

"Bakinya iaitu seramai 191 individu disahkan negatif dan 156 daripadanya dilepaskan daripada tempoh kuarantin pada Khamis.

"Seramai 10 lagi individu sedang menunggu keputusan saringan dan dijangka diperoleh dalam masa terdekat, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan pantas mengadakan saringan pengawasan secara bersasar itu berjaya mengawal wabak berkenaan daripada merebak ke kawasan lain di Kuala Pilah.

"Kita berharap 10 individu yang sedang menunggu keputusan ujian calitan juga negatif dan sekiranya tiada kes baru InsyaALLAH kluster ini mungkin ditamatkan kelak," katanya.

Agihan pek makanan kepada penduduk yang menjalani kuarantin sumbangan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Pilah oleh anggota APM daerah Kuala Pilah pada Khamis lepas. - Foto Pejabat Kesihatan Kuala Pilah

Pada 14 dan 18 Julai lepas seramai 250 penduduk di Flat Taman Waja di sini melibatkan lima blok kediaman penduduk diarahkan menjalani ujian saringan pengawasan secara bersasar selepas terdapat kes positif akibat wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Kluster Taman Waja telah diisytiharkan pada 13 Julai lepas dan merupakan kluster ke lapan di daerah Kuala Pilah.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan menjelaskan terdapat kluster baharu direkodkan di Kuala Pilah melibatkan Kluster Taman Waja, kes indeks merupakan seorang wanita warganegara berusia 49 tahun dilaporkan positif wabak pada 10 Jun lalu hasil saringan kontak rapat.