Dua usul penting wajar dibahaskan di Parlimen

Kenyataan Asyraf Wajdi di Facebook beliau pada Ahad.
Kenyataan Asyraf Wajdi di Facebook beliau pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa kerajaan supaya membenarkan Parlimen membahas dan membuat pengundian terhadap sekurang-kurangnya dua usul penting iaitu proklamasi darurat dan Ordinan Darurat, serta Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sidang Parlimen tidak sepatutnya hanya sekadar menjadi sesi penerangan, sebaliknya diperlukan untuk membahas, meluluskan atau menolak sesuatu usul.

“Kenapa Ordinan Darurat wajar dibahas dan ditolak? Darurat bukan sahaja gagal dan lebih memudaratkan, bahkan rakyat diperlaku zalim dengan kompaun melampau sehingga RM10,000 dan bersifat pilih kasih.

“Kenapa PPN dan pakej bantuan rakyat wajar dibahas? Wajib bahas dan suarakan dengan tegas berkenaan tuntutan rakyat mengenai penambah baikan pakej bantuan rakyat seperti kemudahan i-Citra sebanyak RM10,000 'one-off' dan moratorium tanpa faedah terakru.

“Ia termasuk moratorium Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), tambahan nilai Bantuan Prihatin Rakyat dan Bantuan Khas Covid-19, isu birokrasi dalam proses permohonan dan rayuan, bantuan khas peniaga kecil yang gulung tikar serta lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau pada Ahad.

Pada Isnin, ahli-ahli Parlimen dijadualkan menghadiri sidang khas Dewan Rakyat selama lima hari selepas persidangan ditangguhkan sejak awal tahun ini susulan penularan pandemik Covid-19.

Persidangan khas itu difahamkan bagi membentangkan proklamasi darurat serta Ordinan Darurat mengikut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, beliau percaya titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkali-kali meminta Parlimen bersidang bagi membahaskan Ordinan Darurat dan PPN secara tersirat menunjukkan Seri Paduka Baginda prihatin terhadap keresahan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pakar perundangan dan perlembagaan turut menegaskan bahawa keperluan untuk membahaskan proklamasi dan Ordinan Darurat bagi diluluskan atau dibatalkan ahli Parlimen selari kehendak Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Asyraf Wajdi menegaskan, kerajaan melalui Perdana Menteri perlu membenarkan usul proklamasi dan Ordinan Darurat untuk dibahas dan diundi bagi memenuhi hak berperlembagaan yang secara rasmi membawa suara rakyat di Parlimen.

“Kegagalan melakukannya bukan sahaja boleh dianggap sebagai menderhaka titah Yang di-Pertuan Agong, malah lebih berat lagi melanggar sumpah setia jawatan ahli Parlimen untuk 'memelihara, melindungi dan mempertahankan' Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.

Perkara 150 (3) menyatakan proklamasi darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen.

Sekiranya tidak terlebih dahulu dibatalkan, ia hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan proklamasi atau ordinan itu tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa proklamasi atau ordinan berkenaan.

Fasal (2B) memberikan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memasyhurkan apa-apa ordinan sebagaimana yang didapatinya perlu mengikut hal keadaan ketika proklamasi darurat berkuatkuasa.

-end-