X

Kindly register in order to view this article
!

Tak perlu kelonggaran SOP di mukim, daerah zon hijau

Saarani mendengar taklimat diberikan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri ketika lawatannya ke PKTK PKPD di Kampung Tersusun Pondok Tanjung dan Kampung Lubuk Binjai di sini pada Ahad.
A
A

BAGAN SERAI - Kerajaan Perak tidak berhasrat melonggarkan pelaksanaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan mukim dan daerah berstatus hijau.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu tidak wajar kerana dibimbangi menyumbang kepada penularan kes jangkitan Covid-19 lebih tinggi memandangkan masih terdapat beberapa kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Perlu diingat kemungkinan orang yang berada di zon merah bila dengar nak buat PKPD mereka akan lari bawa tikar bantal ke kawasan hijau dan membawa bersama Covid-19.

"Sebab itu saya tidak ada hasrat memberi kebebasan pasa satu-satu mukim atau daerah sedangkan pada waktu sama ada kawasan lain dikenakan PKPD.

"Seeloknya mana yang ada di zon hijau duduk diam di rumah masing-masing begitu juga yang dalam kawasan PKPD. Bila begini tidak akan ada jangkitan yang disebabkan merentas sempadan itu," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) PKPD di Kampung Tersusun Pondok Tanjung dan Kampung Lubuk Binjai di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, sehingga kini Perak tidak mengenakan sebarang sekatan kepada mana-mana pihak termasuk yang datang dari negeri luar untuk masuk ke negeri ini dengan syarat mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Katanya, seperti di kawasan pengeluaran durian antaranya di Batu Kurau, peraih termasuk dari Selangor dan Pulau Pinang masih boleh datang untuk membeli durian.

"Perak ini walaupun negerinya luas, orang bebas untuk keluar masuk, jadi saya fikir (beri kelonggaran) bukanlah satu tindakan yang baik," katanya.

Saarani menunjukkan penjagaan kebersihan tangan kepada seorang warga emas ketika lawatannya ke Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau di Dewan Astaka Batu Kurau.
Saarani menunjukkan penjagaan kebersihan tangan kepada seorang warga emas ketika lawatannya ke Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau di Dewan Astaka Batu Kurau.

Media sebelum ini melaporkan beberapa negeri berharap kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada negeri atau daerah berstatus hijau bagi membolehkan penduduk melakukan aktiviti harian tanpa perlu dikekalkan dalam fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perak ketika ini telah beralih ke Fasa 2 PPN dengan 469 kes baharu positif Covid-19 direkodkan pada Sabtu.

Antara lokaliti masih dikenakan PKPD setakat ini termasuk di mukim Batang Padang, mukim Bidor, daerah Kinta, Hilir Perak dan Kerian.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, saringan menerusi Program Saringan Komuniti Bersasar Covid-19 Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag) di negeri ini berjalan dengan lancar dengan menyasarkan lokaliti berisiko kes positif tinggi.

"Seperti sedia maklum, kita telahpun membeli kit ujian itu dan pasukan ini berada di mana-mana kawasan yang menjadi sasaran kes untuk kita lakukan saringan dan mendapatkan result lebih cepat," katanya.

Pada Jun lepas, kerajaan negeri menyasarkan untuk melakukan 2,000 saringan menerusi RTK-Ag bagi mengenal-pasti kes positif terutamanya yang tidak bergejala namun berisiko menularkan jangkitan kepada komuniti.

end


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!