X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat Dakwah Islamiah Paroi dijadikan CAC

Pusat Dakwah Islamiah Paroi Negeri Sembilan - Gambar hiasan
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan bersetuju untuk menjadikan Pusat Dakwah Islamiah Paroi Negeri Sembilan (PDINS) sebagai Pusat Saringan Covid-19 (CAC) bagi daerah Seremban.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, CAC ini adalah tambahan kepada CAC yang sedia ada di Taman Tasik Jaya dan Stadium Tertutup Nilai.

Menurutnya, pengurusan dan operasi CAC ini dikelolakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Seremban, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Daerah Seremban bermula 22 Julai lalu.

"Bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan, pelanggan PDINS dinasihatkan berurusan secara dalam talian jika ada urusan di Bahagian Dakwah, Undang-undang Keluarga atau Bahagian Penguatkuasaan PDINS sepanjang tempoh CAC tersebut beroperasi.

"Jika pelanggan perlu hadir ke PDINS, sila dapatkan janji temu terlebih dahulu dengan bahagian yang berkaitan.

"Para pelanggan juga dinasihatkan untuk mematuhi semua arahan petugas dan SOP yang berkuatkuasa sekiranya perlu hadir ke kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di laman sosialnya pada Ahad.

Tambahnya, setiap individu yang ingin berurusan di mana-mana pejabat PDINS perlu mengambil serius arahan pihak petugas dan mengambil langkah berhati-hati bagi memutuskan penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, sehingga Khamis, seramai 478,519 penduduk di Negeri Sembilan atau 59 peratus daripada jumlah pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera telah divaksin.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 186,563 orang atau 23 peratus daripada pendaftaran telah lengkap divaksin dan secara keseluruhannya sebanyak 17 peratus daripada populasi seluruh negeri telah divaksin.

"Berdasarkan data yang diperoleh, kerajaan negeri optimis dengan sasaran 80 peratus penduduk divaksin menjelang Oktober ini.

"Sama-samalah kita berdoa agar imuniti kelompok dapat dicapai dan rakyat negeri ini dapat dilindungi daripada wabak Covid-19, Insya-ALLAH," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!