JKNP nafi kaitan hantaran tular skuad pengurusan jenazah babitkan Hospital Bera

JKNP menafikan kaitan Hospital Bera dengan satu hantaran di media sosial membabitkan isu pengurusan jenazah yang didakwa berlaku di hospital berkenaan.
JKNP menafikan kaitan Hospital Bera dengan satu hantaran di media sosial membabitkan isu pengurusan jenazah yang didakwa berlaku di hospital berkenaan.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) menafikan kaitan Hospital Bera dengan satu hantaran di media sosial.membabitkan isu pengurusan jenazah yang didakwa berlaku di hospital itu.

JKNP menjelaskan,Unit Forensik Hospital Bera tidak terlibat dalam menentukan, mengurus atau membuat sebarang keputusan berkaitan pengendalian jenazah selepas proses perubatan dan dokumentasi berkaitan selesai dilaksanakan.

Menurutnya, pengurusan jenazah di hospital dilaksanakan berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil. 10/2025: Garis Panduan Tatacara Pengurusan Jenazah di Hospital dan Institusi Perubatan Khas Kementerian Kesihatan Malaysia, bertarikh 21 April 2025.

"Setelah segala urusan berkaitan perubatan dan dokumentasi diselesaikan, keputusan berhubung urusan selanjutnya terhadap jenazah adalah tertakluk kepada waris.

" Ia termasuk urusan pengambilan serta pengurusan jenazah oleh pihak yang dipilih atau dilantik oleh waris," jelasnya melalui kenyataan di sini.

JKNP sebelum ini mengesan satu hantaran di media sosial yang memaparkan kenyataan berkaitan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) Pahang dengan mengaitkan nama Hospital Bera.

Hantaran dan kenyataan tersebut tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Hospital Bera atau JKNP.

"Laporan polis akan dibuat pihak Hospital Bera berhubung perkara ini," katanya.

Sehubungan itu, JKNP menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian, spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat tidak benar itu boleh menimbulkan kekeliruan atau memberikan gambaran yang tidak tepat terhadap Hospital Bera dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan.

"JKNP sentiasa komited untuk memastikan segala maklumat berkaitan fasiliti, perkhidmatan dan urusan kesihatan di Negeri Pahang disampaikan secara tepat, telus dan melalui saluran rasmi," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!