Konvoi #Lawan berlangsung secara aman

Peserta konvoi #Lawan mengibarkan bendera dengan tulisan 'kerajaan gagal' sambil membunyikan hon.
Peserta konvoi #Lawan mengibarkan bendera dengan tulisan 'kerajaan gagal' sambil membunyikan hon.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Konvoi #Lawan yang dijadualkan pada Sabtu bergerak di sekitar Kuala Lumpur dengan diiringi polis pada pagi Sabtu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati konvoi yang disertai kira-kira 10 buah kereta itu bergerak bermula dari stesen transit aliran ringan (LRT) Bangsar menuju ke Dataran Merdeka sekitar jam 11.30 pagi.

Peserta terlibat dilihat membunyikan hon dan mengibarkan bendera dengan tulisan 'kerajaan gagal'.

Konvoi kemudian meneruskan perjalanan dari Dataran Merdeka ke Brickfield lalu bersurai di sekitar kawasan Bangsar.

Keadaan didapati terkawal dengan bantuan anggota dan pegawai polis yang membantu melancarkan pergerakan sepanjang lebih kurang satu jam perjalanan konvoi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan tegas jika terlibat konvoi #Lawan: Polis

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan pihak polis memberi amaran kepada individu yang terlibat dengan kempen berkenaan supaya tidak melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Dalam laporan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengingatkan orang ramai bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih lagi berkuatkuasa dan tindakan tegas akan diambil.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan pujukan sesetengah pihak untuk menyertai konvoi tersebut.