Besarnya kuasa doa

Kedah terima bekalan vaksin lebih banyak minggu depan
Kedah terima bekalan vaksin lebih banyak minggu depan
A
A
A

ALHAMDULILLAH kita telah berjaya mengharungi cabaran sambutan hari raya korban dengan peraturan yang cukup ketat.

Sebagaimana hari raya puasa baru-baru ini, majoriti rakyat telah faham apa yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa sambutan hari raya. Namun, apa yang lebih utama bukannya sambutan hari raya tersebut, apa yang lebih penting adalah pengisian amal ibadat sepanjang proses menyambut raya.

Sebetulnya, setiap pelaksanaan amal ibadat adalah berkait rapat dengan doa. Kita berdoa bukan sahaja untuk mendapat kesenangan hidup di dunia, namun apa yang paling penting mendapat keredaan ALLAH di akhirat.

Pentingnya kita berdoa selaras dengan kata-kata Salman RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Tuhan yang Maha Suci dan Maha Tinggi adalah Maha Hidup dan Mulia. Dia berasa malu dari hambanya apabila ia mengangkat kedua tangan kepadaNya dan mengembalikannya dalam keadaan kosong”. (Hadis Riwayat, Abu Daud).

Kita semua tahu bahawa doa merupakan ikhtiar yang paling ampuh bagi seseorang insan. Pun begitu, masih ramai yang tidak serius untuk berdoa. Bagi mereka, kurang alim, kurang amal, masih jahil, tidak pandai berdoa dan masih banyak dosa telah menjadi penghalang untuk berdoa dengan bersungguh-sungguh.

Apabila kita mula berasa lekeh dan jauh daripada ALLAH, itu adalah petanda kita telah tersungkur dengan belitan iblis. Oleh itu, jangan peduli siapa kita di sisi masyarakat, apa yang penting kita perlu sentiasa berdoa. Sesungguhnya ALLAH tidak pernah pandang lekeh dan mensia-siakan setiap ungkapan doa daripada hambanya.

Berkaitan hal itu, ALLAH berfirman, “Dan apabila hamba-hambaku bertanya mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka); sesungguhnya Aku (ALLAH) sentiasa hampir kepada (kepada mereka); Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Surah Al-Baqarah, 2:186).

Justeru apa jua keadaan kita, jangan lalai dan terus berdoa secara berterusan kerana besarnya kuasa doa kepada kita. Pun begitu, sikap tidak sabar menunggu doanya dimakbulkan menyebabkan ramai yang berhenti dan berputus asa berdoa.

Artikel Berkaitan:

Secara peribadi, saya sendiri pernah merasai betapa besarnya kuasa doa. Sewaktu arwah ayahanda saya meninggal dunia pada 08 April 2017 banyak perkara yang saya terkilan, antaranya; tidak sempat bersamanya di saat kematian dan tidak mempunyai kekuatan emosi untuk mengimamkan solat jenazah beliau. Pada masa yang sama, arwah bonda saya sedang mengharungi keperitan penyakit Alzheimer.

Semenjak itu, saya terus istiqamah berdoa agar ALLAH mengizinkan saya supaya sempat berada di sisi bonda sewaktu nazak dan berupaya mengimamkan solat jenazah bonda saya. Alhamdulillah, selama hampir 2 tahun 5 bulan istiqamah berdoa, ALLAH telah makbulkan doa berkenaan. Bagi saya, itulah kuasa doa yang amat memberi kesan kerana berkesempatan melakukan khidmat terakhir untuk arwah Bonda.

Sehingga kini, Covid-19 masih berleluasa dan semakin kuat mengganas setelah beberapa kali bermutasi. Ramai yang sakit dan mati, ekonomi semakin lumpuh, ramai yang susah dan gelisah. Kerinduan terhadap keluarga semakin menebal kerana perlu akur dengan SOP kawalan penyakit berjangkit. Setiap hari ramai yang marah kerana semakin terhimpit minda dan emosi.

Pada hemat saya, semua ini berlaku kerana kita masih belum serius berdoa. Ramai yang masih lalai serta kurang bermuhasabah diri. Sebaliknya banyak menyalahkan itu dan ini. Berdamailah sekejap untuk menyalahkan orang lain, sebaliknya kita perlu fokus berdoa serta merendahkan diri agar dihapuskan penyakit ini secepat mungkin. Mengadulah kepada ALLAH dengan penuh keyakinan.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis