X

Kindly register in order to view this article
!

Bank makanan Pusat Nelayan Pulau Pinang bantu rakyat terjejas

PPSN turut menghantar sumbangan barang makanan kepada penerima yang telah dikenal pasti.
A
A

GEORGETOWN - Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) di Pulau Pinang telah memulakan program ‘food bank’ awal bulan ini untuk komuniti nelayan selatan Pulau Pinang yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan bagi membendung Covid-19.

Inisiatif yang telah memanfaatkan lebih kurang 80 keluarga ini turut melibatkan warga emas, ibu tunggal dan orang kelainan upaya dari kawasan berhampiran PPSN.

Pegawai informasi PPSN, Mohammad Qhidir Subri berkata, pihaknya mendapati ramai penduduk di kawasan selatan Pulau Pinang hidup dalam keadaan daif dan terjejas akibat pelaksanaan PKP.

“Terdapat bekas nelayan yang sudah tua dan hidup bersendirian kerana bujang. Akibat PKP dan wabak Covid-19, mereka kehilangan kerja dan tiada pendapatan malah mereka tidak dapat mencari pekerjaan lain,” katanya.

Menurutnya, ada bantuan yang dihantar terus kepada penerima yang telah dikenal pasti dan ada yang datang sendiri ke pejabat PPSN.

Program bank makanan itu akan diteruskan sehingga tamat pandemik Covid-19 bagi membantu lebih ramai penduduk tempatan.

PPSN turut mengalu-alukan penaja dan penderma bagi membolehkan program komuniti itu diteruskan untuk satu tempoh yang lebih panjang.

“Kita tidak tahu bila wabak ini akan tamat tetapi PPSN akan berusaha untuk teruskan. Setakat ini, beberapa penderma telah berjanji untuk bantu dua minggu sekali,” katanya.

Makanan yang diperlukan bagi mengisi bank makanan itu merangkumi bahan asas seperti beras, gula, minyak masak, telur, tepung, kicap, susu pekat dan serbuk kopi atau teh.

Sumbangan daging ayam dari rumah ke rumah dilaksanakan sempena Aidiladha baru-baru ini.
Sumbangan daging ayam dari rumah ke rumah dilaksanakan sempena Aidiladha baru-baru ini.

Sempena sambutan Aidiladha baru-baru ini, PPSN turut mengagihkan daging ayam kepada 200 keluarga dari Permatang Damar Laut, Teluk Kumbar, Sungai Batu dan Gertak Sanggul, pada Isnin lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Gemuruh, Talha Samad, 59, menyambut usaha PPSN membantu keluarga yang terdesak.

Katanya, walaupun tidak banyak namun ia memberi kelegaan kepada nelayan, pekerja kilang, suri rumah, warga emas dan golongan asnaf yang memerlukan.

“MPKK sendiri turut hulurkan bantuan makanan. Kami juga harap ada badan-badan tertentu yang sama-sama membantu,” katanya.

PPSN yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2016 berperanan menjadi pengantara rakyat dan kerajaan negeri dalam membantu menangani isu yang dihadapi nelayan selatan Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Taskforce Nelayan berkata, PPSN tidak hanya menguruskan hal-hal berkaitan nelayan yang terlibat dalam Projek Tambakan Selatan Pulau Pinang.

“PPSN turut menjaga kebajikan masyarakat setempat, khususnya nelayan. PPSN mewakili kerajaan negeri dalam memberi bantuan kepada masyarakat,” jelasnya.

Sejak ditubuhkan lima tahun lalu, PPSN telah membantu mangsa kebakaran dan membaiki rumah penduduk yang usang serta memberi sokongan kepada pelbagai program komuniti.

Ketika Pulau Pinang dilanda ribut dan banjir pada November 2017, PPSN membantu penduduk yang terjejas di selatan Pulau Pinang.

Apabila PKP 1.0 dilaksanakan tahun lalu, PPSN mengambil inisiatif untuk mendapatkan bantuan khas untuk nelayan di bawah Pakej Bantuan Rakyat yang disediakan oleh kerajaan negeri.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!