Ulasan berbaur perkauman membunuh

No Image Caption
A
A
A

PASTI banyak panggilan video dan WhatsApp saling bertukar tangan sepanjang sambutan Aidiladha, tiga hari lalu. Ini membuktikan komunikasi memesrakan manusia pada alam maya. Anak perantau yang merindui ibu bapa di kampung bertemu di alam maya.

Itulah kehebatan komunikasi alam maya. Namun, pada sisi gelap, komunikasi alam maya yang tidak terkawal atau berniat untuk membunuh karier atau cuba meruntuhkan semangat seseorang boleh menyebabkan krisis mendalam.

Jelas sekali kebelakangan ini, media di seluruh dunia, khususnya di Britain banyak memaparkan kisah penyalahgunaan media sosial untuk mendera atau merobekkan semangat atau karier seseorang.

Minggu lalu, Sir Mo Farah menjelaskan ‘penderaan rasis menerusi sosial media’ kian berleluasa. Selepas gagal untuk menempah tempat ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo bermula hari ini menyebabkan Mo Farah dikecam oleh penyerang rasis di alam maya.

Kegagalan pasukan England untuk menamatkan kemarau kejayaan pada kejohanan utama selepas menjulang Piala Dunia pada 1966, menyebabkan tiga pemain berkulit hitam iaitu Marcus Rashford, Bukayo Saka dan Jadon Sancho yang gagal menyempurnakan sepakan penalti, menjadi bahan sindiran berbaur rasis. Tiga pemain tersebut menerima ikon seperti monyet dan pisang menerusi komen pada alam maya.

Ada netizen yang menggelarkan tiga pemain England itu sebagai ‘kaki bangku’ pada penentuan sepakan penalti pada final Euro 2020 antara Itali menentang England. Penulis juga difahamkan pada Sukan Olimpik di Tokyo nanti, pasukan bola sepak Great Britain dijangka meneruskan ritual melutut sebelum sepak mula. Keputusan tersebut juga tidak disenangi pihak tertentu. Akibatnya ramai yang menyerang keputusan tersebut menerusi ulasan pada alam maya.

Timbul persoalan di benak pemikiran penulis. Kenapa komunikasi yang sepatutnya mulus pada alam maya bertukar menjadi kebencian? Penulis percaya Rashford, Saka dan Sancho sangat mengidamkan kejuaraan Piala Negara-Negara Eropah 2020 (Euro 2020). Walhal dua legenda bola sepak, Micheal Platini dan Roberto Baggio juga pernah gagal menyempurnakan sepakan penalti pada Piala Dunia.

Sebagai contoh, Mo Farah − pemenang pingat emas Olimpik empat kali mendedahkan beliau dikecam secara sarkastik menerusi ulasan pada alam maya. British Broadcasting Corporation (BBC) dalam laporannya minggu lalu mendedahkan Mo Farah yang berasal dari Somalia dan berhijrah ke Britain, lantang meminta netizen yang sering menampilkan ulasan berbentuk perkauman, supaya segera menghentikan tindakan mereka.

Artikel Berkaitan:

ALLAH SWT sangat murka kepada manusia yang sengaja mahu mengaibkan orang lain melalui media sosial. Amaran ini dinyatakan dalam Surah al-Hujuraat ayat [49:12] bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang di antara kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang.”

Kesimpulannya, menyebarkan ulasan berbentuk perkauman, mengumpat, mengaib dan menyebarkan maklumat palsu sehingga menimbulkan kesan buruk ialah satu perbuatan haram kerana mampu membunuh orang lain angkara tekanan perasaan. Bagaimanapun, penulis percaya netizen di Malaysia masih waras. Begitupun, sekiranya tidak dikawal, ulasan berbentuk perkauman boleh merosakkan keharmonian kaum di Malaysia.

* Profesor Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor