X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: Masalah bekalan 'special request' selesai

PKPD di Flat Taman Samudera Timur sejak Ahad lalu.
A
A

GOMBAK - Masalah penduduk Flat Taman Samudera Timur, di sini yang sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan bekalan 'special request' (permintaan khas) iaitu susu bayi, lampin pakai buang serta tuala wanita selesai apabila bantuan tersebut mula diterima pada petang Khamis.

Ketua Blok 04, Mohd Aseri Ariffin berkata, penduduk berdepan masalah mendapatkan bantuan itu susulan kedai runcit di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu tidak beroperasi.

Menurutnya, hampir 10 penduduk telah memohon untuk bekalan tersebut sejak pelaksanaan PKPD Ahad lalu dan senarai pemohon telah diserahkan kepada urus setia untuk tindakan lanjut.

"Saya tak boleh keluar rumah kerana kuarantin, namun saya dah serahkan senarai nama penduduk yang memerlukan bantuan tersebut kepada pihak urus setia melalui WhatsApp. Alhamdulillah, barang dah sampai petang tadi," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan pada hari kelima pelaksanaan PKPD di enam blok dengan hampir 3,000 penduduk.

Pada perkembangan sama, beliau turut berkongsi berkenaan tindakan segelintir kecil penduduk yang meninggalkan kediaman masing-masing sebelum pelaksanaan PKPD.

"Sekurang-kurangnya 10 unit rumah di Blok 04 didapati telah dikosongkan, dipercayai bagi mengelak menjalani PKPD.

"Masa buat bancian ada penghuni, tetapi masa laksana PKPD didapati mereka tiada di rumah. Saya difahamkan kes sama turut dilaporkan berlaku di blok-blok lain yang terlibat PKPD di flat tersebut," katanya.

Sementara itu, Ketua Blok 05, Saharudin M Said berkata, kebajikan penduduk dari sudut makanan asas mencukupi dan tidak berdepan masalah besar.

"Alhamdulillah, pada hari kedua PKPD, bantuan asas dah diterima. Ada juga dapat juadah Hari Raya Aidiladha pada Selasa lalu. Selain itu ada juga penyumbang berikan daging korban.

"Dari segi kebajikan terutama makanan setakat ini semuanya lancar tidak ada yang tercicir. Cuma masalah susu, lampin pakai buang serta tuala wanita agak lewat diterima, tetapi sudah selesai petang tadi," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Gombak, Shukri Mohamad Hamin berkata, barangan permintaan khas (susu, lampin pakai buang, tuala wanita) itu mengalami kelewatan berkemungkinan disebabkan mengambil masa untuk mengumpul data.

"Bagaimanapun semakan setakat jam 5 petang tadi, urus setia memaklumkan barangan tersebut sedang dalam proses pembungkusan sebelum diedar pada petang," katanya.

Berhubung dakwaan penduduk mengosongkan kediaman pula katanya, pihaknya akan semak dan menyiasat dakwaan tersebut.

Selain itu beliau memaklumkan, penduduk PKPD itu sedang menjalani ujian saringan selain disediakan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) mini untuk pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan.

"Setakat semalam (Rabu) seramai 119 kes positif Covid-19 dilaporkan di PKPD Flat Taman Samudera Timur melibatkan 116 warganegara dan tiga bukan warganegara. 26 daripadanya kini menerima rawatan di hospital.

"Selepas selesai saringan, penduduk yang didapati negatif akan mula menerima suntikan vaksin pada 26 Julai," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!