Kes peras ugut, sebar video lucah meningkat

PDRM
PDRM
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor menerima 220 kes membabitkan pemerasan dan ugutan menyebarkan video dan gambar bogel serta lucah melalui media sosial dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, melibatkan kerugian antara RM3,000 hingga RM50,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, berdasarkan rekod dari Januari hingga Jun lepas itu, 54 kes melibatkan sindiket mencari kenalan melalui laman sosial sehingga memperdaya mangsa membuat aksi lucah semasa sedang bersiaran secara langsung (live) tanpa mengetahui aksi mereka dirakam.

“Sebanyak 29 kes melibatkan kenalan kepada mangsa seperti bekas suami atau teman lelaki manakala selebihnya membabitkan individu yang tidak dikenali menghantar video bukan milik mangsa untuk mengganggu mereka,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, sindiket pemerasan itu akan memperdaya mangsa sama ada lelaki dan wanita dalam lingkungan usia 20an hingga 60an, bagi mendapatkan apa yang dimahukan.

Menurut beliau, sindiket akan menggunakan platform antaranya WeChat, Facebook, WhatsApp, Line, Skype, laman web (GODATE2NIGHT), Locanto.asia dan lain-lain aplikasi yang memudahkan mangsa berkomunikasi serta diperdaya sehingga sanggup berbogel dan mengikut arahan yang diberikan.

“Sindiket akan merakamkan video serta gambar lucah mangsa supaya mereka boleh memeras ugut untuk menyebarkan kedua-dua item berkenaan jika tidak memberikan apa yang diminta,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: