Rangka mangsa lemas 26 hari ditemui

Anggota JBPM Kedah membantu mengeluarkan rangka seorang lelaki dari Sungai Kuala Pai, Kuala Nerang pada Khamis.
Anggota JBPM Kedah membantu mengeluarkan rangka seorang lelaki dari Sungai Kuala Pai, Kuala Nerang pada Khamis.
A
A
A

KUALA NERANG - Rangka manusia dipercayai seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh di Sungai Kuala Pai, dekat sini pada 27 Jun lalu, ditemui penduduk setempat kira-kira jam 3.35 petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang menyatakan menjumpai rangka manusia di dalam sungai tersebut.

Menurutnya, rangka berkenaan dipercayai milik Muhamad Shahril Hamid, 30, selepas 26 hari mangsa dilaporkan lemas.

"Rangka tersebut ditemui kira-kira 100 meter dari tempat mangsa jatuh pada 27 Jun lalu. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah telah membantu untuk mengeluarkan rangka dari sungai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mulkiaman berkata, rangka itu telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan siasatan masih lagi diteruskan.

Menurutnya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Media pada 27 Jun lalu melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke Sungai Kuala Pai, Kuala Nerang.

Artikel Berkaitan: