'Benarkan orang ramai rakam gambar ketika terima vaksin'

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berharap orang ramai dibenarkan untuk merakam gambar atau video ketika mereka menerima suntikan vaksin Covid-19.

Gesaan itu dibuat dipercayai susulan beberapa dakwaan berkaitan kandungan vaksin yang diberikan tidak cukup dos malah ada juga yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong.

"Semua orang patut dibenarkan rakam gambar atau video waktu terima vaksin. Duit beli vaksin itu pun duit rakyat,” kata Fahmi di laman Facebooknya pada Khamis.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menggesa agar individu yang menyuntik picagari kosong dihukum kerana mengkhianati negara.

"Orang yang bagi vaksin kosong adalah pengkhianat negara. Orang yang jual slot vaksin juga adalah pengkhianat negara.

"Pengkhianat negara dalam 'perang lawan Covid-19' mesti dihukum, dan perkara ini mesti dibahas di Parlimen pada sidang 26 Julai ini," katanya dalam catatan berasingan di laman sosial itu.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan mengarahkan pegawai yang memberikan vaksin menunjukkan picagari kepada penerima sebelum dan selepas proses tersebut dijalankan.

Berkaitan suntikan kosong pula, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Selasa dilaporkan berkata, pihak terkesan akan diberikan dengan dos yang baharu.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu diambil susulan beberapa kejadian suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menjadi tular di laman media sosial kerana didakwa membabitkan picagari kosong.