Radzi minta KPM, SPP perjelas isu lantikan tetap guru CoS

Mohd Radzi
Mohd Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) diminta menjelaskan status sebenar pelantikan tetap guru berstatus Contract of Service (CoS) ambilan 2023 dengan kadar segera.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada guru CoS bagi tahun tersebut yang masih menunggu urusan pelantikan tetap masing-masing diselesaikan.

Ini kerana menurut beliau, KPM pada 23 Februari lalu telah mengeluarkan surat berkaitan proses pertimbangan pelantikan tetap melibatkan 6,179 guru CoS ambilan 2023.

"Saya juga menerima salinan surat tawaran pelantikan tetap daripada SPP bertarikh 9 April 2026. Sebahagian guru memaklumkan bahawa mereka sudah melengkapkan dokumen yang diperlukan.

"Malah, ada guru daripada ambilan yang sama sudah menerima surat pengesahan pelantikan pada Jun lepas.

"Persoalannya, mengapa ada guru yang sudah menerima pengesahan pelantikan tetap, tetapi masih ramai daripada ambilan sama belum menerimanya?" kata Mohd Radzi menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Mohd Radzi yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, beliau dimaklumkan bahawa pihak sekolah masih menunggu arahan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk meneruskan proses tersebut, sedangkan terdapat kelompok yang sudah selesai dengan urusan itu di daerah lain.

Katanya, keadaan menjadi lebih mengelirukan apabila KPM mengeluarkan surat bertarikh 29 September 2026 berkaitan tawaran pelantikan semula CoS bagi guru ambilan 2023.

"Saya meminta KPM dan SPP segera menjelaskan status sebenar pelantikan tetap guru-guru ini.

Artikel Berkaitan:

"Mengapa berlaku perbezaan antara daerah dan bilakah urusan yang masih tertangguh dapat diselesaikan. Perkara ini perlu diberi perhatian serius dan diselesaikan segera," ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!