[VIDEO] Syarat simpanan RM15,000 haji selaras syor RCI - Zulkifli
KUALA LUMPUR - Penetapan syarat simpanan minimum RM15,000 bagi menerima tawaran menunaikan haji adalah selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menaikkan bayaran pendaftaran asas dan meningkatkan deposit kelayakan automatik mengikut kos semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif menerusi Pelan Persediaan Haji Seruan Istito’ah itu bertujuan membina disiplin kewangan dan menggalakkan bakal jemaah membuat persediaan awal sebelum menunaikan ibadah berkenaan.
"Untuk pengetahuan semua, ketetapan ini juga merupakan di antara syor RCI.
"Pengalaman Tabung Haji (TH) sebelum ini menunjukkan ramai bakal jemaah haji yang tidak membuat persediaan secukupnya apabila lebih 50 peratus daripada tawaran haji dimohon untuk ditangguhkan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau berkata, keadaan itu menjejaskan kecekapan pengurusan giliran haji apabila TH perlu membuat tawaran gantian berulang kali dalam tempoh singkat.
"Apabila TH menetapkan syarat simpanan RM15,000 untuk menerima tawaran haji dan membuat peringatan awal, kini kadar penangguhan berjaya dikurangkan secara mendadak kepada 18 peratus,” katanya.
Zulkifli berkata, syarat simpanan minimum RM1,300 yang berkuat kuasa sejak 1995 ditambah baik bagi memastikan bakal jemaah membuat persediaan kewangan lebih awal, selaras dengan prinsip istito’ah atau kemampuan menunaikan haji.

Bagaimanapun, beberapa Ahli Parlimen membangkitkan kebimbangan bahawa syarat baharu itu boleh membebankan pendeposit, khususnya golongan luar bandar, selain meminta kerajaan mempertimbangkan mekanisme yang lebih fleksibel bagi mengekalkan giliran haji mereka.
Menjawab perkara itu, Zulkifli berkata, pendeposit sedia ada diberikan tempoh sehingga 31 Dis 2028 untuk mencukupkan baki simpanan RM15,000 bagi mengekalkan giliran masing-masing, dengan simpanan minimum itu juga masih layak menerima agihan keuntungan tahunan TH.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan menanggung sepenuhnya caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi 40,000 petugas agama termasuk imam, bilal, siak, marbut, noja dan guru takmir di seluruh negara.
Zulkifli berkata, TH dipilih untuk menguruskan caruman itu berdasarkan pengalaman institusi berkenaan mengendalikan skim perlindungan kebajikan pendepositnya.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) komited menjaga kebajikan 36,500 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara, termasuk menerusi peningkatan elaun secara berperingkat.
Katanya, elaun guru KAFA kini berjumlah RM1,100 sebulan, selain caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM143 dan PERKESO RM18 yang ditanggung kerajaan.
Beliau turut memaklumkan imbuhan bonus guru KAFA bagi 2027 dinaikkan kepada RM750 berbanding RM500 pada tahun ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
