X

Kindly register in order to view this article
!

Kebebasan dua dos perlu bersyarat

A
A

SHAH ALAM - Kelonggaran rentas daerah dan negeri untuk individu yang lengkap dua dos vaksin perlu diberikan secara bersyarat dan bukan secara mutlak.

Antara syarat tersebut adalah mewajibkan saringan Covid-19 dan mendapat kebenaran daripada pihak polis.







Dr Malina
Dr Malina

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, ujian saringan Covid-19 wajar dikenakan sebagai syarat tambahan kerana mengambil kira kes penularan jangkitan sporadik yang agak meluas dalam negara.

“Disebabkan adanya individu yang dijangkiti dan tidak bergejala, langkah ujian saringan ini dapat mengekang penularan terutama apabila ada keperluan untuk membuat perjalanan dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 akan dipertimbangkan untuk diberi kelonggaran tertentu termasuk makan di kedai dan melakukan rentas daerah atau negeri.

Mengulas lanjut, Dr Malina berkata, pelaksanaan ujian saringan itu kini dilihat praktikal dan sangat relevan memandangkan negara sudah memiliki kit ujian kendiri menggunakan sampel air liur yang mudah dan murah.

Mengenai proses pengesahan ujian saringan tersebut khususnya bagi individu yang menggunakan kit ujian kendiri, beliau berkata, perkara itu boleh dilakukan dengan melibatkan doktor yang bekerja di perkhidmatan kesihatan awam mahupun swasta.

“Kita boleh mendapatkan kerjasama doktor sama ada dalam perkhidmatan awam atau mana-mana klinik swasta untuk memverifikasi keputusan ujian melalui aplikasi MySejahtera.

“Ujian itu juga boleh dilakukan di klinik atau disaksikan doktor berkenaan sebelum disahkan di dalam sistem MySejahtera,” katanya.







Dr Hanafiah
Dr Hanafiah

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, meskipun ujian saringan dilihat langkah yang baik dalam mengawal penularan Covid-19, namun beliau berpandangan ia perlu disertai dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurutnya, terdapat juga beberapa isu lain yang perlu diambil kira dalam memastikan keberkesanan proses dan langkah yang dilakukan dalam mengenakan ujian saringan Covid-19.

“Cadangan itu bagus kerana sekurang-kurangnya kita tahu seseorang individu itu dalam 60 ke 80 peratus sama ada dia positif ataupun negatif.

“Tapi ia berkemungkinan tidak berapa praktikal sebab bila sudah disaring, bukan bermaksud 100 peratus tiada Covid-19 dan sampai bila-bila individu itu tiada virus tersebut. Mungkin saring hari ini, esok kita kena jangkitan. Itu maksud saya tidak berapa praktikal.

“Jadi akhirnya, untuk kurangkan kebolehjangkitan Covid-19, bukan setakat saringan sahaja tetapi amalan penjagaan kendiri juga. Masyarakat perlu kembali kepada konsep asal iaitu jaga SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” jelasnya.

Dr Sanjay Rampal
Dr Sanjay Rampal

Sementara itu, Pakar Epidemiologi dan Kesihatan Awam dari Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sanjay Rampal berpandangan, individu yang tidak menunjukkan sebarang simptom secara umumnya tidak perlu melakukan sebarang ujian saringan sekiranya mahu merentas daerah atau negeri.

Menurutnya, dua syarat utama yang perlu diambil kira oleh pihak berkuasa sebelum memberi kebenaran bagi mana-mana individu yang mahu melakukan aktiviti itu adalah pematuhan SOP yang ketat dan mengisytiharkan status kesihatan diri.

Dr Sanjay berkata, syarat untuk mengenakan saringan Covid-19 kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin sebelum merentas daerah dan negeri dilihat kurang praktikal untuk mengawal penularan wabak tersebut dalam negara.

Ini kerana katanya, hasil saringan Covid-19 yang negatif tidak membawa maksud seseorang individu itu bebas daripada sebarang risiko jangkitan Covid-19 sepenuhnya.

Jelas beliau, langkah sedemikian hanya sesuai dikenakan sekiranya seseorang individu itu mahu pergi ke tempat atau kawasan yang populasinya terlindung dan terbukti bebas daripada penularan wabak tersebut.

“Ujian saringan mungkin berguna untuk pengembara yang pergi ke kawasan atau daerah yang penduduknya tertutup (closes population) seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan lain-lain.

“Untuk pergi ke kawasan itu, saringan yang dilakukan berguna dalam situasi ketika tidak ada penyebaran Covid-19 dalam kalangan masyarakat di pulau-pulau tersebut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Risiko kemudaratan kepada orang lain

Dulu tolak vaksinasi, sekarang mahu


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!