X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Pelarasan hutang: Mampukah kembalikan kepercayaan Felda, peneroka

Langkah Felda lupuskan sebahagian hutang peneroka boleh menjadi titik tolak hubungan lebih baik antara Felda dan peneroka yang sekian lama berhadapan isu hilang kepercayaan. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membuka lembaran baharu dengan melupuskan sebahagian hutang peneroka mungkin boleh menjadi titik tolak hubungan yang lebih baik antara Felda dan peneroka yang sekian lama berhadapan dengan isu hilang kepercayaan.

Masalah yang berlarutan sejak sekian lama itu menyukarkan Felda bergerak ke hadapan dengan model dan kedudukan baharu terutama apabila ada dalam kalangan peneroka yang enggan bersama Felda, sebaliknya sanggup menghantar hasil ladang mereka kepada pihak luar semata-mata untuk mendapat wang segera.

Keadaan ini sedikit sebanyak menggugat objektif Felda sejak 65 tahun penubuhannya yang berperanan menguruskan ladang berskala besar bagi meningkatkan sumber ekonomi.

Ibarat serampang dua mata, inisiatif yang diusahakan kerajaan dan Felda bagi melupuskan purata 80 peratus hutang lapuk peneroka melalui pelarasan pinjaman secara bersyarat bukan sahaja akan mengurangkan bebanan hutang sebaliknya meningkatkan pendapatan 92,400 daripada 112,638 peneroka seluruh negara.

Ini kerana, jumlah bayaran yang akan ditolak daripada hasil ladang setiap bulan akan berkurangan apabila mereka hanya perlu membayar kadar yang lebih rendah antara RM250 hingga RM300 sebulan.

Keadaan ini sekali gus akan memberi lebihan pendapatan kepada peneroka yang boleh digunakan untuk simpanan atau bagi meringankan bebanan terutamanya dengan kos hidup yang semakin tinggi ketika ini.

Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar dalam taklimat bersama media baru-baru ini menjelaskan rata-rata jumlah hutang peneroka yang tertunggak antara RM80,000 sehingga RM100,000 malah ada yang sampai RM200,000 ribu, merupakan satu jumlah yang besar dan agak sukar untuk dilunaskan.

Tawaran pelupusan hutang itu, katanya, diharapkan dapat membuka buku baharu dalam usaha membentuk model pembangunan yang lebih mampan melalui kerjasama dengan peneroka terutama menarik lebih 20 peratus peneroka yang membawa haluan sendiri untuk kembali bersama-sama Felda.

“Kedua-dua pihak banyak kelemahan... Felda pun ada kekurangan dahulu menyebabkan peneroka kurang kepercayaan. Jadi dengan pelupusan ini, dapatlah kembali kepada situasi asal, kepercayaan bertambah baik dan bersama-sama maju ke hadapan dengan lebih baik,” katanya.

Gesaan agar hutang peneroka dilupuskan pernah ‘rancak’ dilaungkan sehingga menjadi modal politik pihak tertentu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini, namun senyap dan berlalu begitu sahaja.

Terma ‘hutang’ antara isu yang dibangkitkan peneroka sebelum ini kerana mendakwa tidak mengetahui status hutang tersebut berikutan tiada penyata pinjaman yang dikeluarkan Felda sepertimana pinjaman dengan insitusi kewangan.

Bagaimanapun, semua kekeliruan itu diselesaikan melalui tawaran perjanjian pelupusan hutang-hutang kebun peneroka sehingga tarikh 31 Disember 2019 berserta dengan penyata yang telah diaudit.

Tawaran ini merupakan ‘hadiah’ terbesar yang memang ditunggu-tunggu peneroka terutama pelupusan hutang daripada generasi awal Felda yang telah terkumpul sejak 20 sehingga 30 tahun lalu.

Walaupun terdapat beberapa isu baharu ditimbulkan pihak tertentu terutama status pemilikan ladang, namun diyakini tidak akan menghalang 85 peratus peneroka untuk bersetuju menerima tawaran pelarasan pinjaman ini, menurut Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan, Karip Mohd Salleh.

Sepatutnya, tidak timbul isu berbangkit dalam tawaran pelupusan pinjaman tersebut kerana Felda dengan jelas dalam syarat-syarat perjanjian itu hanya mahu menguruskan ladang dan bukan mengambil alih ladang milik peneroka.

Kebimbangan ini, jelas beliau, mungkin timbul berikutan syarat pengurusan kebun yang terkandung di dalam perjanjian itu yang menyebabkan segelintir daripada lebih 20 peratus peneroka yang menguruskan sendiri ladang tidak bersetuju dengan terma tersebut.

“Hanya segelintir sahaja, sedangkan 75 peratus peneroka yang telah bersama-sama pengurusan Felda sejak dahulu lagi, tidak ada masalah.

“Matlamat daripada syarat perjanjian itu hanya mahu peneroka menjual hasil kepada Felda. Felda tidak menghalang pun mana-mana peneroka untuk mengusahakan sendiri ladang mereka sekiranya berkemampuan dan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan Felda,” katanya kepada Bernama.

Menyifatkan perjanjian yang ditawarkan itu adil untuk kedua-dua pihak, beliau berkata memang sepatutnya peneroka membalas kepercayaan yang diberikan Felda itu dengan menjual hasil ladang mereka kepada Felda.

Sejak diumumkan pelupusan pinjaman bersyarat pada 7 Julai lepas, sehingga Ahad 18 Julai, seramai 35,572 peneroka telah menerima tawaran tersebut dan menandatangani borang perjanjian.

“Saya yakin, akan lebih ramai lagi yang akan menerima tawaran bersyarat Felda itu sehingga tamat tempoh pada 11 Ogos depan termasuk sebahagian daripada lebih 20 peratus peneroka yang kini tidak bersama Felda dan menguruskan sendiri ladang mereka.

“Ini disebabkan ada yang mengusahakan sendiri, tidak dapat menguruskan ladang dengan baik sehingga ladang terbiar dan tidak mendapat hasil yang sepatutnya,” katanya.

Selain itu, selepas ini juga tidak akan timbul lagi isu peneroka tidak menerima penyata kerana maklumat tentang hutang mereka boleh diakses secara dalam talian melalui portal e-Peneroka.

Pada sambutan Hari Peneroka Kebangsaan, 7 Julai lepas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion bagi membolehkan isu hutang yang membelanggu Felda dan pewaris sejak sekian lama dapat diselesaikan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!