Kerajaan kekal dasar dwirangkaian 5G demi keselamatan komunikasi - Fahmi

Fahmi. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Fahmi. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengekalkan dasar dwirangkaian 5G bagi meningkatkan keyakinan terhadap keselamatan komunikasi selain membolehkan rangkaian alternatif diaktifkan sekiranya berlaku gangguan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan dasar tersebut memberi keyakinan kepada pelbagai pihak untuk berkomunikasi secara selamat menggunakan peralatan komunikasi yang disediakan oleh syarikat tertentu.

“Kita akan meneruskan dasar dua rangkaian kerana kita lihat ia memberi keyakinan kepada pelbagai pihak bahawa mereka boleh berkomunikasi dengan selamat dengan menggunakan peralatan komunikasi yang disediakan oleh syarikat tertentu.

“Dasar dua rangkaian ini juga memberi satu aspek yang disebut 'redundancy' (sistem sandaran rangkaian) sekiranya apa-apa berlaku kepada satu rangkaian maka rangkaian kedua boleh diaktifkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan NEXSEC2026 bertemakan 'Advancing Cyber Resilience Through Collaboration, Innovation and Talent' di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Rabu.

Ketika ini, dua rangkaian 5G negara dikendalikan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dan U Mobile dengan masing-masing menggunakan teknologi daripada pembekal berbeza.

DNB menggunakan peralatan komunikasi daripada Ericsson manakala U Mobile menggunakan teknologi daripada dua syarikat iaitu Huawei dan ZTE.

Pada 12 November lalu, Ketua Pegawai Eksekutif, EuroCham Malaysia, Kati Ferry dilapor berkata, kejelasan dan konsistensi dasar 5G negara mampu meningkatkan keyakinan pelabur asing dalam membuat keputusan perniagaan jangka panjang.

Menurutnya, pendekatan Malaysia menggunakan teknologi Barat dan China memberi kelebihan daya saing kepada negara, selain membolehkan syarikat memilih rangkaian yang bersesuaian dengan keperluan operasi masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Fahmi memaklumkan, beliau telah meminta kedua-dua pengendali rangkaian 5G negara mengadakan perbincangan bagi memastikan pengguna terus mendapat perkhidmatan komunikasi sekiranya berlaku kecemasan.

Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan membolehkan pengguna mendapat perkhidmatan daripada rangkaian alternatif sekiranya berlaku sebarang masalah terhadap rangkaian yang digunakan.

“Saya telah minta supaya kedua-dua rangkaian ini mengadakan perbincangan untuk membolehkan sekiranya apa-apa berlaku, sebagai langkah keselamatan dan juga kecemasan, pengguna di satu rangkaian boleh juga terus mendapat perkhidmatan daripada rangkaian alternatif.

“Itu niat kita supaya tidak ada 'single point of failure' (titik kegagalan tunggal),” kata beliau lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!