Patuh SOP dalam meraikan Aidiladha juga satu pengorbanan

Ini adalah kali kedua umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana pandemik Covid-19 dan perlu akur dengan SOP yang ditetapkan kerajaan. - Gambar hiasan
Ini adalah kali kedua umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha dalam suasana pandemik Covid-19 dan perlu akur dengan SOP yang ditetapkan kerajaan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Pengorbanan kita dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan perkara di luar kebiasaan. Itulah pengorbanan. Kita harus menyambut Aidiladha dengan patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan.

"Elakkan sekali-kali daripada menyanggahi ketetapan kerajaan seperti had maksimum solat, had maksimum petugas korban dan sebagainya, " demikian ditegaskan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Pulau Pinang Abu Mansur Maturidi Mohd Romli ketika dihubungi Bernama, baru-baru ini.

Menurut beliau, kesabaran adalah hikmah terbesar dalam pengorbanan dan semakin ramai yang hilang sabar apabila perlu berkorban.

"Meningkatkan ketaatan kepada ALLAH dalam segala aspek ialah pengorbanan terbesar setiap hamba ALLAH," katanya.

Dengan merujuk kepada pandemik Covid-19 yang masih berlarutan di Malaysia dan juga seluruh dunia, beliau menambah, tempoh krisis kesihatan yang sedang dialami ini sebenarnya juga menguji sejauhmana pengorbanan setiap individu dalam berhadapan dengan saat sukar ini.

Ini adalah kali kedua umat Islam di Malaysia menyambut Hari Raya Aidiladha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban dalam suasana pandemik Covid-19 dan perlu akur dengan SOP yang ditetapkan kerajaan.

Zahir rasa syukur

Bercakap mengenai ibadah korban, Abu Mansur Maturidi berkata, ibadah korban ini disunatkan kepada orang-orang yang berkemampuan atau orang-orang yang ada lebihan dalam kehidupan harian sebagai menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

"Aidiladha atau hari raya korban memperingatkan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ia disambut bagi menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan oleh ALLAH SWT untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Dalam ertikata lain, ketaatan kepada Allah memerlukan pengorbanan," katanya.

Abu Mansur Maturidi berkata, jika sebelum ini (sebelum pandemik Covid-19), ibadah korban disambut dengan kadar "asal boleh", namun dengan penularan virus berkenaan, dapat dilihat ibadah korban dilaksanakan lebih teratur.

"Lebih teratur dengan keperluan perancangan dan pelaksanaan agar mematuhi SOP ibadah. Sepertimana hari raya Aidilfitri, hari raya haji ini juga perlu diraikan dalam suasana sederhana. Apabila disambut secara sederhana ia akan menimbulkan kerendahan jiwa kita berbanding kita menyambut dalam keadaan serba seronok dan meriah," katanya.

Reda dengan ujian

Kehadiran virus Covid-19 turut menguji keimanan dan kesetiaan umat manusia dalam mengharungi kehidupan. Begitu juga yang dialami oleh seorang pengusaha lembu dari Pulau Pinang, Mohamad Nasir Awang, 44, yang reda dengan ujian dalam menjalankan perniagaan ladang lembu.

Mengakui pada tahun ini tempahan lembu untuk ibadah korban semakin menurun berbanding tahun 2020, beliau akur dan berlapang dada dengan seadanya rezeki yang diberikan.

"Ya pada tahun ini jualan lembu semakin berkurang lagi jika hendak dibandingkan dengan tahun lepas. Tahun ini tempahan lembu hanya 30 ekor sahaja berbanding tahun lepas sebanyak 50 ekor lembu yang dikorbankan untuk hari raya haji," katanya kepada Bernama.

Bagi Mohamad Nasir, pengurangan jualan lembu tersebut disebabkan faktor kes Covid-19 yang semakin meningkat serta penyembelihan lembu juga perlu dibuat mengikut SOP yang lebih ketat antaranya hanya lima ekor sahaja lembu dibenarkan sehari selain bilangan petugas yang dihadkan.

Bagi ibadah korban tahun ini kerajaan menetapkan syarat bahawa ibadah korban dibenarkan bermula pada hari raya Aidiladha dan tiga hari Tasyrik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilaporkan berkata, aktiviti menyembelih haiwan korban boleh dimulakan bermula jam 6 pagi hingga 6 petang sahaja dengan had kehadiran tidak melebihi 10 orang termasuk petugas.

Di samping itu, hanya 27 buah rumah penyembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dibenar menjalankan proses penyembelihan.

Biarpun jualan mencatat penurunan, Mohamad Nasir yang mengusahakan ladang lembu sejak tahun 2005 di Machang Bubok, Pulau Pinang dengan dibantu oleh isteri serta tiga anaknya berusia antara 12 hingga 16 tahun tetap bersyukur kerana masih lagi menerima tempahan lembu sewaktu negara dilanda pandemik.

Sebelum pandemik Covid-19, beliau pernah mendapat tempahan sehingga sebanyak 70 ekor lembu.

Menurut beliau, pada tahun ini harga lembu yang dijual bermula dari harga RM5,500 hingga RM8,000 bergantung kepada jenis baka lembu.

Kebanyakan tempahan lembu yang diterima bagi perayaaan kali ini adalah lembu jenis Kedah-​Kelantan (KK) dan Brahman.

Berkongsi pembabitannya dalam perusahaan ladang lembu, Mohamad Nasir yang juga kontraktor perumahan itu berkata, beliau bermula dengan dari 4 ekor lembu pada tahun 2005 dan kini memiliki 100 ekor lembu dari pelbagai jenis baka iaitu baka Brahman, Belgian Blue, Charolais dan Bega yang diusahakan sendiri tanpa mengambil pekerja.

Menzahirkan harapan agar pandemik Covid-19 segera berakhir, Mohamad Nasir berharap penjualan lembunya akan kembali seperti sebelum koronavirus maut itu melanda negara ini.

Di samping menjual lembu bagi ibadah hari raya haji, beliau turut menjalankan perniagaan menjual daging lembu pada hari biasa dengan harga sekilogram RM36.

"Älhamdulillah, untuk perayaan Aidiladha tahun ini tempahan yang diterima mencecah 300 kilogram, " katanya. - Bernama