'Ali naik gaji, Abu tak naik, itu tak adil' - Tengku Zafrul

SHAH ALAM - Kenaikan gaji minimum penting bagi meningkatkan pendapatan pekerja, namun manfaatnya tidak seharusnya hanya dirasai golongan yang menerima gaji paling rendah sahaja.
Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, majikan juga perlu melihat struktur gaji keseluruhan pekerja supaya golongan yang sudah lama berkhidmat tidak tercicir apabila kadar gaji minimum dinaikkan.
"Contohnya, Ali baru masuk kerja, gaji RM1,700. Abu dah kerja 10 tahun, gaji RM1,800. Bila kadar minimum naik nanti, gaji Ali akan naik, tapi gaji Abu tak semestinya berubah.
"Lama-lama, beza gaji mereka makin kecil, dan ini tak adil pada Abu. Sebab itu, majikan kena tengok gaji semua pekerja, bukan gaji pekerja baharu atau pekerja yang minimum gajinya," katanya menerusi hantaran video di Facebook pada Rabu.
Tengku Zafrul menambah, keuntungan yang dinikmati syarikat juga sewajarnya dikongsi secara lebih adil dengan pekerja, khususnya bagi majikan yang mempunyai kemampuan kewangan.
"Janganlah semua keuntungan itu pergi kepada pemilik dan pemegang saham sahaja. Bos tiap-tiap tahun tukar kereta, tapi dekat pekerja asyik cerita pasal bisnes yang tak untung.
"Enam GLIC dah menetapkan penanda aras gaji kehidupan wajar. Ini sekitar RM3,100 untuk pekerja tetap rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berpandangan, ia bukan kadar wajib untuk semua syarikat, tapi ia membuktikan ada majikan besar yang mampu meletakkan gaji lebih tinggi daripada gaji minimum.
"Gaji minimum yang lebih tinggi penting, tapi kenaikan gaji jangan berhenti pada pekerja yang paling bawah sahaja. Pekerja yang gajinya RM1,800, RM3,000 atau RM7,000 pun tak patut tertinggal," kongsinya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kadar gaji minimum baharu yang akan diumumkan kerajaan perlu mengambil kira kemampuan pekerja dan majikan.
"Perdana Menteri dah beri syarat gaji minimum RM1,700 akan dinaikkan. Berapa kadarnya? Kita tunggu Belanjawan pada 9 Oktober. Tapi bila gaji minimum naik, kita kena tengok dua keadaan.
"Pekerja yang gajinya rendah dan majikan yang kena bayar gaji itu. Kita bayangkan, satu kedai makan ada lima pekerja bergaji minimum. Kalau gaji naik RM100 seorang, kedai itu kena tambah RM500 sebulan untuk gaji asas saja," katanya.
Beliau berkata, kenaikan gaji minimum turut meningkatkan kos caruman dan kos operasi majikan terutama bagi perniagaan yang mempunyai margin keuntungan kecil.
Menurutnya, kenaikan terlalu tinggi juga boleh menyebabkan majikan mengurangkan syif, menangguhkan pengambilan pekerja baharu atau menaikkan harga bagi menampung peningkatan kos, malah dalam keadaan tertentu boleh menjejaskan kelangsungan perniagaan dan pekerjaan.
"Kalau dah betul-betul tak mampu, kedai mungkin terpaksa tutup. Pekerja pun hilang kerja. Tapi, jangan anggap semua majikan tak mampu. Ada syarikat besar yang untung berbilion ringgit, tapi gaji pekerja masih rendah.
"Ada yang mampu bayar lebih, tapi pilih bayar setakat minimum selagi undang-undang membenarkan. Majikan jenis ini akan naikkan gaji pekerja paling bawah ikut kadar minimum baharu, tapi gaji pekerja lain tak berubah," katanya
Justeru, beliau berkata, syarikat yang berkemampuan perlu membayar gaji pekerja dengan lebih adil, manakala perniagaan yang berdepan kekangan pula perlu dibantu supaya dapat terus beroperasi dan membayar pekerja dengan lebih baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

