SME Malaysia mahu subsidi upah diperkukuh, kadar bantuan dinaikkan

SME Malaysia menyarankan kerajaan memperkukuh insentif kenaikan gaji dan subsidi upah di bawah Dasar Gaji Progresif, termasuk meningkatkan kadar bantuan kewangan.
SME Malaysia menyarankan kerajaan memperkukuh insentif kenaikan gaji dan subsidi upah di bawah Dasar Gaji Progresif, termasuk meningkatkan kadar bantuan kewangan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran memperkukuh insentif kenaikan gaji dan subsidi upah di bawah Dasar Gaji Progresif, termasuk meningkatkan kadar bantuan kewangan, memperluas liputan dan mempermudah proses permohonan.

Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) berkata, mekanisme yang lebih jelas dan mudah diakses akan membolehkan lebih banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menikmati manfaat program berkenaan.

Menurutnya, langkah tersebut dapat membantu PMKS meningkatkan gaji pekerja secara berperingkat sambil mengurus beban kos tambahan akibat pelarasan gaji.

Pada masa sama, SME Malaysia menyambut baik keputusan Jemaah Menteri mengecualikan PMKS daripada kenaikan kadar gaji minimum baharu buat sementara Waktu.

"Keputusan tersebut memberi ruang yang amat diperlukan kepada PMKS untuk menghadapi tekanan kos operasi yang semakin meningkat serta cabaran ekonomi semasa.

"Pengecualian sementara berkenaan akan membantu PMKS mengekalkan kelangsungan operasi, melindungi peluang pekerjaan serta terus berdaya saing, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kerajaan bersetuju mengecualikan PMKS daripada pelaksanaan kenaikan kadar gaji minimum baharu melalui mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan lain untuk membantu meningkatkan gaji pekerja dalam sektor PMKS, termasuk sokongan subsidi gaji di bawah Dasar Gaji Progresif agar kenaikan bergerak seiring peningkatan produktiviti.

Mengulas lanjut, SME Malaysia berkata, pihaknya menyokong usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan gaji pekerja melalui Dasar Gaji Progresif dalam menyediakan sokongan subsidi upah, supaya peningkatan gaji dapat bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti.

Artikel Berkaitan:

"Mekanisme subsidi dan insentif upah yang lebih kukuh akan memberikan ruang kepada PMKS untuk meningkatkan ganjaran pekerja, di samping terus melabur dalam peningkatan produktiviti, pendigitalan, latihan serta pembangunan kemahiran.

"Persatuan menghargai keterbukaan dan kesediaan kerajaan untuk terus mendengar pandangan komuniti PKS serta berharap dialog konstruktif antara kerajaan dan industri dapat diteruskan bagi membentuk dasar gaji yang dapat mengimbangi peningkatan pendapatan pekerja, daya saing perniagaan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!