Lelaki ditahan miliki ganja

Bungkusan dadah disyaki jenis ganja yang disorok dalam motosikal milik suspek.
Bungkusan dadah disyaki jenis ganja yang disorok dalam motosikal milik suspek.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menemui ganja seberat 2.2 kilogram susulan penahanan seorang lelaki di Jalan Jaya 1, Taman Jaya Skudai, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, bertindak atas maklumat, suspek lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 3.40 pagi selepas dikesan berada dalam sebuah kenderaan di kawasan berkenaan.

"Kami menemui dua paket plastik disyaki mengandungi syabu dalam kenderaan Produa Myvi yang dinaikinya. Saringan ujian air kencing turut mendapati suspek positif berada dalam pengaruh dadah jenis methamphetamine.

"Malah suspek turut memiliki rekod jenayah judi dan dadah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Taib berkata, suspek kemudiannya telah memandu ke tempat letak motosikal salah sebuah pusat beli belah di Skudai untuk mendapatkan baki dadah yang masih disorokkan.

"Polis menemui sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC di tempat letak kenderaan pusat beli belah tersebut. Pemeriksaan ke atas motosikal itu kemudiannya menemui tiga bungkusan dadah disyaki ganja yang disorokkan di bawah tempat duduknya.

"Semakan turut mendapati motosikal berkenaan dicuri," katanya.

Beliau berkata, siasatan terperinci akan terus giat dijalankan bagi membanteras sebarang aktiviti sindiket pengedaran dadah terbabit.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.