X

Kindly register in order to view this article
!

Hospital Kapit terima lima unit ventilator

Hospital Kapitmenerima lima unit mesin ventilator daripada KPDNHEP menerusi peruntukan agihan zakat korporat SSM.
A
A

SIBU - Hospital Kapit pada Ahad menerima lima unit mesin ventilator bernilai RM125,000 daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi peruntukan agihan zakat korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Majlis penyerahan mesin ventilator kepada hospital itu disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Nanta menerusi satu kenyataan memaklumkan, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif SSM dalam usaha memanfaatkan peruntukan agihan zakat korporat bagi membantu pesakit mengalami masalah pernafasan yang teruk akibat jangkitan wabak Covid-19.

"Mesin ventilator ini akan menjadi alat sokongan kepada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan untuk mengawal pengaliran oksigen dengan lebih baik dan mudah dikendalikan berbanding alat bantuan pernafasan biasa," kata Ahli Parlimen Kapit itu.

Sementara itu, mengulas mengenai bakul makanan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi kawasan parlime Kapit, Nanta berkata proses pengagihan telah bermula dan dijangka akan diteruskan sehingga Ogos depan.

“Saya telah mengagihkan RM100,000 untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di kawasan parlimen Kapit. Sebanyak 3,000 keluarga bakal menerima bantuan itu,” katanya.

Menerusi Pemulih yang diumum kerajaan pada 28 Jun lepas, RM300,000 diperuntukkan kepada setiap Ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!