'Jangan degil cuba masuk Seberang Perai Utara tanpa kebenaran'

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis memberi amaran kepada orang ramai agar jangan berdegil dengan cuba memasuki daerah Seberang Perai Utara (SPU) tanpa surat kebenaran atau bakal dikenakan tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, peringatan itu ditujukan terutamanya kepada mereka yang berhasrat untuk pulang ke kampung bagi meraikan Hari Raya Aidiladha pada Selasa ini.

Menurutnya, dalam keadaan kes Covid-19 yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini, orang ramai seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan termasuk larangan untuk pulang ke kampung.

"Bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan dengan melalukan pergerakan rentas daerah dan negeri, semua anggota yang bertugas akan melakukan pemeriksaan lebih teliti di enam sekatan jalan raya (SJR) untuk masuk ke daerah ini.

"Jangan cuba berikan pelbagai alasan yang tidak munasabah hanya untuk kepentingan diri dan kita akan pastikan mereka tidak akan lolos melalui beberapa lorong tikus termasuk menempatkan tiga SJR bergerak selain tiga pasukan lagi yang akan membuat pemeriksaan rawak di lokasi tertentu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Noorzainy berkata, beliau juga telah mengarahkan semua ketua polis balai untuk lebih teliti dalam pengeluaran surat rentas negeri atau daerah yang dipohon dan hanya memberi kebenaran kepada mereka untuk hal kecemasan, kematian, perubatan serta janji temu vaksin.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Noorzainy berkata, sebanyak 24 pasukan 'task force' akan digerakkan untuk melakukan pemantauan bagi memastikan tiada sebarang aktiviti kunjung mengunjungi dan rumah terbuka semasa hari raya Aidiladha.

"Sekiranya ada lagi yang masih ingkar dan mengabaikan SOP mungkin usaha kita selama ini memerangi pandemik ini akan menjadi sia-sia.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab kita seharusnya memainkan peranan bersama dalam memerangi wabak ini dan bukan pentingkan diri hingga boleh mengundang bahaya kepada orang lain," katanya.

Ditanya mengenai aliran trafik di daerah ini, beliau berkata, keadaan seperti biasa dan tiada pertambahan kenderaan yang keluar dan masuk setakat ini.