Pemulihan HSK Batu Talam disegerakan elak hakisan

Kerja-kerja penanaman pokok dilakukan bagi mengelak hakisan dan pencemaran sumber air di HSK Batu Talam, Raub.- Foto ihsan JPNP
Kerja-kerja penanaman pokok dilakukan bagi mengelak hakisan dan pencemaran sumber air di HSK Batu Talam, Raub.- Foto ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Kerja pemulihan kawasan Hutan Simpan Kekal (TSK) Batu Talam, Raub dengan penanaman pokok hutan telah dilakukan bagi mengelak kejadian hakisan tanah dan pencemaran sumber air.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali berkata, pihaknya kini berusaha secepat mungkin untuk menyelesaikan kerja menanam pokok hutan di kawasan terbabit kerana ia merupakan kawasan tadahan air yang telah diwartakan pada tahun 2002.

Menurutnya, sekiranya pencemaran berlaku, ia akan menjejaskan sumber air penduduk daerah ini.

"Dalam tempoh seminggu program menanam dilakukan, lebih 8,000 pokok berjaya ditanam. Seramai 60 hingga 75 kakitangan JPNP menjalankan kerja menanam setiap hari dan mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

"Setakat ini, kita dapat lihat kerjasama terbaik diberikan kakitangan bertugas dan berjaya melancarkan kerja menanam pokok hutan.

Mereka begitu bersemangat untuk menyelesaikan tugas berkenaan secepat mungkin seperti dirancang," katanya pada Ahad.

Kakitangan JPNP melakukan kerja-kerja penanaman pokok hutan di TSK Batu Talam, Raub..- Foto ihsan JPNP
Kakitangan JPNP melakukan kerja-kerja penanaman pokok hutan di TSK Batu Talam, Raub..- Foto ihsan JPNP

Hutan Simpan Kekal Batu Talam menjadi lokasi operasi musnah bermula pada 3 Julai lalu selepas ia diceroboh pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan kebun durian musang king dengan lebih 15,000 pokok di situ.

Artikel Berkaitan:

Operasi menebang pokok durian musang king dijangka mengambil masa sebulan untuk dimusnahkan, namun dalam masa sembilan hari semua pokok berjaya ditebang menggunakan mesin gergaji berantai.

Wan Ghazali bagaimanapun berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu di daerah ini terutama berlaku hujan hampir setiap petang menjejaskan aktiviti menanam pokok.

Namun, katanya, pihaknya tetap menjalankan kerja menanam pokok hutan tanpa henti di kawasan HSK Batu Talam itu.

Selain itu, katanya, bentuk muka bumi yang berbukit di kawasan terbabit antara cabaran terpaksa dihadapi petugas.

"Kenderaan pacuan empat roda tidak dapat sampai ke kawasan berkenaan.

Aktiviti memindahkan anak pokok terpaksa dilakukan menggunakan bakul raga yang diubah suai untuk digalas.

"Program menanam pokok hutan terdiri daripada jenis merawan, meranti, balau, keruing dan beberapa spesies lain dilakukan tanpa henti hingga selesai.

Kira-kira 20,000 pokok akan ditanam dalam kawasan seluas 101 hektar.

"Tugas menanam pokok kini dilakukan secara bergilir membabitkan semua Pejabat Hutan Daerah (PHD) di negeri ini," ujar beliau.

Wan Ghazali berkata, pihaknya menggunakan anak pokok yang terdapat di tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Rotan Tunggal di sini dan selebihnya akan diambil di beberapa PHD lain.

ARTIKEL BERKAITAN: 20,000 pokok hutan akan ditanam di HSK Batu Talam

ARTIKEL BERKAITAN:'Tindakan kerajaan Pahang jadi tanda aras baharu'