20,000 pokok hutan akan ditanam di HSK Batu Talam

Anggota JPNP melakukan pemulihan hutan dengan menanam pelbagai spesies pokok hutan di HSK Batu Talam. - Foto Ihsan JPNP
Anggota JPNP melakukan pemulihan hutan dengan menanam pelbagai spesies pokok hutan di HSK Batu Talam. - Foto Ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 20,000 pokok hutan akan ditanam di kawasan seluas lebih 101 hektar di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam selepas kerja menebang 15,000 pokok durian selesai pada minggu lalu.

Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Wan Ghazali Wan Ali berkata, kerja-kerja pemulihan hutan telah dilakukan dengan menanam lebih 2,000 pelbagai spesies pokok hutan di kawasan terbabit.

"Kita sudah tanam kira-kira 2,000 pokok merawan, meranti, balau, keruing dan beberapa spesies lain. Kita jangka dalam tempoh seminggu, sebanyak 5,000 pokok akan dapat ditanam.

"Lebih 100 kakitangan JPNP terlibat dengan aktiviti menanam pokok itu yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan," katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, bekas kebun durian yang tanahnya berbaja dan lembut di kawasan HSK Batu Talam itu melancarkan lagi kerja menanam, meskipun terpaksa memindahkan pokok ke kawasan berbukit.

Menurutnya, pihaknya menggunakan anak pokok yang terdapat di tapak semaian Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat Rotan Tunggal di sini dan selebihnya diambil di beberapa Pejabat Hutan Daerah (PHD) di negeri ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebelum kerja menanam pokok hutan dilakukan, pokok durian musang king yang ditebang perlu dipotong beberapa bahagian terlebih dahulu.

Menurutnya, kaedah itu digunakan bagi memudahkan aktiviti menanam selain untuk memastikan pembesaran pokok hutan tidak terjejas,.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak boleh melengah-lengahkan kerja berkenaan bagi mengelak kejadian hakisan dan pencemaran sumber air. Jadi kita berusaha mempercepatkan kerja-kerja penanaman pokok.

"HSK Batu Talam adalah kawasan tadahan air yang telah diwartakan pada tahun 2002. Sekiranya pencemaran berlaku, ia akan menjejaskan sumber air penduduk daerah ini," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tebang pokok untuk elak pekebun haram masuki HSK Batu Talam