Persekitaran kondusif, harmoni elak kes ponteng kerja

Lam Thye
Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Persekitaran kerja kondusif, selesa dan harmoni perlu diberi penekanan dalam mengurangkan isu ponteng kerja dalam kalangan penjawat awam.

Aktivis Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, persekitaran sedemikian penting bagi memastikan kakitangan awam semangat dalam bekerja dalam masa sama memberikan khidmat yang terbaik kepada pelanggan iaitu masyarakat sejagat.

"Ia akan membawa impak positif dalam kalangan penjawat awam dan menjadi teladan pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim mendedahkan bahawa terdapat penjawat awam yang kerap tidak hadir kerja sehingga tujuh hari, sebagai mendukacita dan memeranjatkan.

Mengulas perkara itu itu, Lam Thye berkata, perkara sedemikian jika tidak didedahkan dikhuatiri akan melarat sehingga menjejaskan perkhidmatan cemerlang yang sentiasa diharapkan oleh rakyat kepada kerajaan.

"Pada hemat saya, sikap culas seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam perkhidmatan awam.

"Sungguhpun benar ia berlaku, saya berharap sikap ponteng kerja ini hanya melibatkan peratusan yang kecil sahaja," katanya.

Bekas ADUN Bukit Nanas dan Ahli Parlimen Bukit Bintang juga meminta penjawat awam yang bersikap sedemikian supaya menerima teguran itu untuk mengubah sikap negatif dalam bekerja.

"Ingatlah bahawa orang ramai amat mengharapkan kakitangan awam yang dipilih dalam sektor awam ini terdiri daripada mereka yang berprestasi tinggi, berintegriti, dan mampu memberi perkhidmatan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

"Justeru, pastikan penjawat awam menjadikan setiap tugas yang disandang sebagai amanah dan tanggungjawab mestilah dilaksanakan sebaik mungkin," kata beliau.