Jangan pulang tangan kosong

Zolkples Embong
Zolkples Embong
A
A
A

KONTINJEN negara yang akan beraksi di Sukan Olimpik Tokyo bermula pada Jumaat depan perlu membuktikan kemampuan mereka untuk cuba meraih pingat pada temasya terbesar dunia itu.

Mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong berkata, atlet akan berdepan Olimpik yang cukup berbeza kali ini ekoran impak pandemik Covid-19 namun menegaskan kontinjen negara tidak boleh pulang dengan tangan kosong.

“Ini adalah Sukan Olimpik iaitu sukan terbesar di dunia dan bukan mudah untuk menang pingat. Sudah tentu rakyat nak tengok kejayaan atlet kita dengan meraih kilauan pingat dan memperbaiki prestasi di Rio sebelum ini dengan empat perak dan satu gangsa.

“Tetapi, kita perlu ingat lawan yang akan dihadapi atlet kita nanti juga sukar untuk diramal kerana tiada banyak kejohanan ekoran Covid-19 yang boleh mengukur prestasi dan persediaan atlet daripada negara lain.

“Justeru, ia tidak mudah untuk atlet kita pada Olimpik kali ini untuk memperbaiki prestasi di Rio, namun saya percaya mereka akan tetap memberikan yang terbaik dan mereka kena memastikan Olimpik kali ini kita tidak pulang dengan tangan kosong.

“Lagipun, rakyat pastinya ingin melihat pelaburan berbaloi kerana perbelanjaan yang tinggi telah Kerajaan keluarkan untuk membiayai program persediaan atlet ke arah tersebut. Contohnya kos basikal Mohd Azizulhasni Awang (jaguh berbasikal trek negara) sahaja diberitakan sampai mencecah RM13 juta,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Impak pandemik Covid-19 kepada dunia turut menyaksikan industri sukan turut terjejas dengan persiapan semua atlet termasuk kontinjen negara terjejas untuk menghadapi sukan Olimpik Tokyo.

Artikel Berkaitan:

Azizulhasni antara atlet negara yang mengalas cabaran Malaysia di Tokyo 2020. -Foto Gpms Unisel SA
Azizulhasni antara atlet negara yang mengalas cabaran Malaysia di Tokyo 2020. -Foto Gpms Unisel SA

Malah, temasya dunia itu yang sepatutnya berlangsung tahun lalu terpaksa ditunda ke tahun ini selain diadakan dengan kawalan penganjuran yang ketat.

Mengulas lanjut, beliau turut menilai kejutan boleh berlaku pada Olimpik kali ini terutama sukan yang diletakkan prospek untuk memenangi pingat seperti berbasikal, badminton dan terjun.

“Contohnya salah satu prospek pingat kita iaitu Lee Zii Jia (pemain badminton perseorangan lelaki negara). Dia diletakkan harapan tinggi untuk dapat pingat selepas kejayaan muncul juara Seluruh England baru-baru ini.

“Tetapi, ramai yang mungkin lupa pada kejohanan Seluruh England itu tidak menampilkan ramai pemain-pemain terbaik dunia. Pemain dari China dan jaguh Taiwan, Chou Tien Chien misalnya tidak ambil bahagian, pemain Indonesia seperti Anthony Sinisuka Ginting dan Jonathan Cristie terpaksa tarik diri selepas pusingan pertama. Pemain nombor satu dunia, Kento Momota juga tidak berada pada tahap terbaik ketika itu, namun di Olimpik Tokyo dia akan bermain di tempat sendiri.

“Sama juga seperti Mohd Azizulhasni yang saya dimaklumkan ada ramai juga pelumba top yang tidak menyertai kejohanan semasa Azizulhasni menang di Australia. Acara terjun juga agak sukar kerana prestasi atlet kita dalam beberapa kejohanan tidak memberangsangkan.

“Rakyat sudah tentu mahu kita mencapai keputusan lebih baik daripada empat perak dan satu gangsa ketika di Olimpik Rio 2016.

“Namun, jika kita mampu lakukan kejutan dengan memenangi satu emas dalam salah satu acara tersebut, ia akan sudah tentu boleh mengubati harapan rakyat yang mahu kita perbaiki keputusan di Rio itu,” katanya.