Kontinjen negara perlu lipat ganda usaha

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

SASARAN 40 emas kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Kemboja 2023 yang berbaki beberapa hari lagi memerlukan kerja keras lebih gigih untuk direalisasikan pada edisi ke-32 kali ini.

Di sebalik menyifatkannya satu misi sukar Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria tetap percaya sasaran itu mampu dijelmakan sekiranya atlet negara berupaya meningkatkan prestasi masing-masing.

“Saya rasa susah tapi seperti dekat-dekat sama dengan situasi edisi Hanoi 2021 tahun lalu.

“Saya berharap baki hari yang tinggal ini mereka mampu untuk bekerja lebih keras bagi memastikan kita mampu menambah lagi pingat emas,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (BAM) di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Sebagai rekod, Malaysia setakat jam 11 malam ini meraih 28 pingat emas, 37 perak dan 73 gangsa di kedudukan ketujuh dalam kalangan 11 negara.

Dalam pada itu, Mohamad Norza menegaskan paling lebih penting daripada sasaran pingat emas adalah kontinjen negara kali ini lebih berani menyenaraikan atlet muda berbanding edisi terdahulu.

“Lagi penting kita sudah capai objektif memperkenalkan atlet muda sama ada kita berani atau tidak. Malah terdapat beberapa laporan berita yang memuji tindakan Malaysia yang menyenaraikan atlet muda.

“Sukan SEA ini adalah medan untuk memberi pendedahan kepada atlet kita, dari keseluruhan kita kena lihat perkara ini dari sudut yang lebih besar,” katanya.

Mohamad Norza juga berpendapat Malaysia kini seharusnya fokus kepada sukan yang menawarkan lebih banyak pingat emas seperti olahraga dan renang ketika menyertai temasya sukan.

“Saya rasa skuad olahraga mempamerkan peningkatan di temasya kali ini. Kali terakhir di Hanoi mereka tidak berada pada prestasi sebenar dan kali ini kita lihat atlet muda, mereka menyumbang pingat emas.

“Bagaimanapun untuk renang, ia berbeza. Jadi saya harap sesuatu boleh dilakukan selepas ini. Hal ini kerana apabila kita menyertai temasya sukan banyak emas akan hadir dari renang dan olahraga,” katanya.