X

Kindly register in order to view this article
!

Penulis muda akan dewasa

A
A
PADA tahun 1990-an saya pernah membicarakan dan mengkritik karya-karya penulis muda waktu itu. Menyaksikan mereka membina kekuatan dalam genre masing-masing: Zaen Kasturi, S.M. Zakir, Hizairi Othman, Marsli N.O., Amiruddin Ali, Pena Mutiara dan Leo Aws sedang mengasah bakat.

Polemik terjadi dan berlanjutan bagi mendefinisikan penulis muda, namun bicara bagaimana mendewasakan mereka lebih penting lagi. Justeru pengarang pelapis inilah yang akan mewarnai wajah sastera Malaysia.

Sebelum itu, dekad 1960-an, idealisme sastera tertumpu kepada fungsi sastera. Kiblatnya tunduk kepada keperluan perubahan sosial. Pelanggarannya hanya berjaya dilakukan oleh segolongan penulis dekad 1970-an, yang mengimbangi antara signifikasi konteks dengan tekstual. Dengan itu mereka meletakkan sastera di tempat asalnya.

Hal ini digerakkan oleh penulis yang mendapat didikan di pusat pengajian tinggi, yang waktu itu bergelar penulis muda, seperti Anwar Ridhwan, Johan Jaaffar, Othman Puteh, Siti Zainon Ismail, A. Ghafar Ibrahim dan lain-lainnya.Kesedaran kepada pembentukan individualisme sudah mula berakar, masing-masing mencari kelainan dan kekuatan diri. Malah, ada yang berjaya mencapai kepengarangannya. Akhirnya gelaran penulis muda itu, terlucut perlahan-lahan daripada diri mereka.

Penulis datang dan pergi. Dalam dekad-dekad selanjutnya bermunculan pengarang-pengarang muda. Datang dengan pelbagai masalah, seperti sukarnya mendapatkan tempat penyiaran, kekurangan bimbingan, dorongan dan kritikan. Dengan sekian banyak masalah yang dihadapi, timbul kegelisahan dan cemas dalam kalangan penulis muda itu.

Bidang puisi ramai sekali penghuninya. Ada yang sudah muncul-munculan pada tahun 1970-an, ada yang hadir pada 1980-an, tidak kurang pula yang sedang mencari tempat. Nawawi Mohamad, Zahari Hasib, A. Halim Ali, Imlan Adabi, Lim Swee Tin, Darma Muhammad, Wan Ahmad Ismail, Rudi Mahmud, Ludin Nawawi, Margi Leo, Pena Mutiara, Gunawan Mahmood, Mohd Adzlan Sulong, Zaidin Abadi, Maarof Seman dan ramai lagi.

Kekuatan

Beberapa nama seperti Nawawi Mohamad, Zahari Hasib dan Imlan Adabi sudah mula menunjukkan kekuatan. Unsur keislaman hidup dalam bilah kata puisi Nawawi Mohamad. Zahari Hasib menyedarkan dengan bingkai-bingkai falsafah dalam kehidupan alamiah yang fitrah. Imlan Adabi memberi tafsiran yang halus tentang gejala yang didepaninya, dan mula membentuk kepengarangannya.

Nama-nama yang lain, seperti Sri Diah peka dengan tataadat gadis Melayu, dan M. Said Murad menghidupkan mantera dan mitos tradisi, sebaliknya Pyan Habib melankolik dalam budaya yang kehilangan kasih sayang.

Wan Ahmad Ismail, Khalid Salleh dan Syarif Shaari, di samping Zakaria Ariffin dan Ismail Kassan, mula memperlihatkan subjektiviti pendramaan, cuba mengubah struktur dan aliran dramatikanya. Wan Ahmad Ismail mencari diri dalam timbunan sejarah istana, yang melindungi konflik dan intrik, dengan dialog stikometrik dan epigramatik yang terkawal.

Ada tanda-tanda Khalid Salleh masuk ke alam surealistik yang berteraskan budaya dan kesenian Melayu tulen, dengan kesengajaan tetapi halus dan mengesankan. Sementara Syarif Shaari menolak kewiraan Tuah atau Jebat, mencari tokoh baru yang sesuai untuk dijadikan simbol baru zaman moden,

Agak menarik, lahir pengkritik dalam kalangan mereka waktu itu, yang peka, prolifik dan berinisiatif seperti Mohamad Daud Mohamad, Wahid Kasran, Abdul Ahmad, Mohd Yusof Hassan, Rahman Shaari, Othman Puteh, Sahlan Mohd Saman, Abdullah Tahir dan Mana Sikana, membincang dan memberikan pandangan yang berguna kepada angkatan baharu itu.

Jawapan untuk mendapat tempat ialah melahirkan karya yang bermutu. Dan untuk melahirkan karya yang bermutu ibarat orang belajar silat, banyak langkah perlu dipelajari, banyak ilmu perlu dicari; itu pun belum tentu digelar pendekar.

Tidak ditolakkan bahawa bimbingan yang baik banyak membantu; tetapi jangan terlalu banyak bergantung kepadanya, nanti dikenal sebagai penulis subsidi. Berdirilah dengan peribadi sendiri. Pembacaan yang luas, yang kreatif, dinamik dan sedar diri adalah universiti yang lebih bererti.

Kualitatif

Cerpen Zaen Kasturi, S.M. Zakir dan Azmah Nordin merupakan kemuncak kecil kehadiran penulis muda 1990-an. Antologi Yuda menunjukkan Zaen Kasturi mendefinisikan cerpen sebagai upacara penyampaian kebijaksanaan dan pengalaman unik yang mendasari falsafah bangsa yang sedang dalam sensasi intelektualisme.

Sementara S.M. Zakir menggali sejarah dan mitos, memberikan tesis terhadap manusia yang dinamakan Melayu. Azmah Nordin pula berdiri di tengah-tengah, di paksi zamannya, memerhatikan kehidupan budaya korporat, sains komputer dan permasalahan ekonomi.

Dalam kalangan penulis muda itu, berkemampuan menandingi karya-karya Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Muhammad Haji Salleh, S. Othman Kelantan, Kala Dewata dan Arena Wati. Cerpen Zaen Kasturi hampir melangkaui cerpen Shahnon Ahmad. Karya S.M. Zakir sudah menampakkan bakat yang lebih besar daripada ayahnya, S. Othman Kelantan. Drama Anwar Ridhwan sebuah demitefikasi terhadap surealisme Noordin Hassan.

Pada dekad 1990-an sastera memerlukan kualitatif bukannya kuantitatif. Tidak perlu berebut-rebut menerbitkan sebanyak yang mungkin, kerana akhir-akhirnya kritikan sastera yang sudah didominasikan oleh teori-teori baru, hanya mencari dua tiga buah karya terbaik.

Begitulah fenomena penulis muda dekad 1990-an. Sekarang mereka sudah dewasa. Malah, ada yang sudah mendapat pengiktirafan SEA Write Award, bergelar sasterawan negeri atau Sasterawan Negara. Dan tiga orang pengarangnya, Zaen Kasturi, S.M. Zakir dan Azmah Nordin, juga sudah mencapai keunggulan. Insya-ALLAH pada suatu masa nanti, mereka akan duduk di kerusi Sasterawan Negara.

Dewasa ini tentu sahaja ada penulis muda. Nama-nama Fadli Al Akiti, Wan Nur Azriq, Fahd Razy, Hazwan Ariff Hakimi, Aidil Khalid, Saharil Hasrin Sanin dan ramai lagi bergelar penulis muda, atau separa dewasa. Tidak terelakkan akan berhadapan dengan pelbagai masalah. Mungkin lebih sulit dan lebih rumit. Sirah perjalanan penulis muda 1990-an itu, dapat dijadikan rujukan.

Begitulah setiap dekad ada sahaja penulis muda. Tetapi di penghujung beberapa dekad mendatang, hanya sekitar lima enam orang sahaja yang berjaya menemukan keperibadiannya.

Justeru itu para penulis muda sekarang, sebenarnya dalam proses menjelang dewasa. Kejayaannya bergantung kepada sumbangan yang bermakna dan berjaya membina subjektiviti diri.

Kelahiran sepatutnya tidak hanya setakat kelahiran, tetapi kelahiran yang mencipta sejarah. Mudah-mudahan ada di antara penulis muda itu yang menjadi milik dunia.

*Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!