X

Kindly register in order to view this article
!

Liga-M masih miliki aura

A
A

LIGA Super (Liga-M) masih memiliki tarikan tersendiri apabila sejumlah 21,814,979 penonton menyaksikan perlawanan siaran langsung yang disiarkan menerusi tiga platform iaitu Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM (menerusi set top box unifi).

Jumlah tontonan itu melibatkan siaran langsung perlawanan bermula aksi pertama Liga Super pada 5 Mac sehingga perlawanan ke-13 pada 9 Mei sebelum saingan Liga Malaysia berehat dan akan kembali bersambung pada 24 Julai.

Turut menarik perhatian adalah rekod tontonan perlawanan di unifi Youtube yang direkodkan sehingga 30 Mei iaitu 49,838,140.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, nilai statistik jumlah tontonan itu menerusi Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube serta TV1 membuktikan Liga Malaysia masih kekal saluran sukan nombor satu kegemaran negara.

Jelas Ab Ghani, MFL dengan kerjasama penaja utama Telekom Malaysia (TM), potensi jumlah tontonan masih berupaya dipertingkatkan selaras minat rakyat terhadap sukan bola sepak pada masa akan datang.

Katanya lagi, MFL menghargai setiap pandangan khusus daripada penyokong bola sepak tempatan yang sentiasa memberikan sokongan teguh kepada industri bola sepak tatkala negara masih berdepan detik sukar dalam era pandemik Covid-19.

“Itulah angkanya iaitu 21,814,979 jumlah tontonan siaran langsung keseluruhan setakat ini di mana ia melibatkan 78 perlawanan yang menyaksikan jumlah jaringan terhasil sebanyak 202 gol. Apa yang menarik, kesemua video perlawanan Liga Super telah ditonton sebanyak 49,838,140 sehingga 30 Mei 2021 menerusi unifi YouTube.

“Statistik ini menunjukkan Liga Malaysia terutama Liga Super merupakan produk yang terbaik kepada rakan-rakan penaja kami untuk komersialkan produk mereka.

“Namun begitu saya optimis bahawa melalui teknologi sedia ada seperti siaran langsung melalui unifi tv, unifi YouTube dan RTM, sokongan terhadap liga tempatan tidak akan sesekali luntur kerana bola sepak adalah sukan nombor satu negara,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Sebagai rekod, siaran langsung perlawanan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Terengganu FC pada 10 Mei mencatatkan jumlah tontonan paling tinggi setakat ini iaitu 698,341.

Manakala siaran langsung bagi minggu ke-11 musim ini mencatatkan jumlah tontonan tertinggi sebanyak 2,307,698.

Sementara itu, mengenai perlawanan Liga Premier, Ab Ghani menjelaskan bahawa kesemua pasukan telah dibenarkan untuk membuat siaran langsung di laman media sosial atau platform striming untuk baki perlawanan musim ini.

“Pihak MFL berharap ini membolehkan lebih peminat menyaksikan perlawanan dan juga dapat membantu kelab-kelab Liga Premier memberi pulangan komersial kepada penaja masing-masing,” katanya dalam satu mesyuarat atas talian baru-baru ini bersama wakil kelab-kelab Liga Premier.

Selain jumlah tontonan menerusi Sports Channel di unifi TV & unifi PlayTV, unifi YouTube dan saluran TV1 RTM, penonton juga berpeluang untuk menyaksikan perlawanan di stadium apabila mendapat kebenaran kerajaan bermula pada perlawanan 2 April sehingga 9 Mei di mana kebenaran itu ditarik semula akibat peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Sepanjang tempoh itu, sejumlah 62,318 penonton hadir ke stadium menyaksikan perlawanan Liga Super dan Liga Premier di mana kapasiti penonton dalam setiap perlawanan dihadkan mengikut kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

“Sebanyak 41 perlawanan Liga Super dan 10 perlawanan Liga Premier berlangsung dalam tempoh kebenaran itu dengan aksi Kedah Darul Aman FC menentang Terengganu FC pada 9 April di Stadium Darul Aman merekod kehadiran penonton tertinggi sebanyak 5,941.

“Kita berharap penularan wabak Covid-19 dapat dikawal dengan baik serta lebih ramai rakyat Malaysia mendapat suntikan vaksin agar penonton kembali mendapat kebenaran untuk hadir ke stadium dalam masa terdekat ini.

“Kita melihat kejohanan di luar negara sudah membenarkan penonton hadir ke stadium dan saya percaya penonton di negara ini turut tidak sabar untuk berada di stadium menyaksikan perlawanan Liga Malaysia.

“MFL amat terharu dengan sambutan yang telah diberikan oleh peminat-peminat bola sepak tanah air. Teruskan menyokong bola sepak kita, Liga Malaysia liga kita.

“Tidak lupa penghargaan yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang memberikan kelulusan manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan kerjasama sangat baik kepada MFL untuk meneruskan Liga Malaysia dalam tempoh mencabar ini,” kata Ab Ghani.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!