Harimau belang masuk perangkap di Pos Bihai

Harimau belang yang dipercayai menyerang seorang penduduk orang asli di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang pada awal Julai lalu.
Harimau belang yang dipercayai menyerang seorang penduduk orang asli di Kampung Badak, Pos Bihai, Gua Musang pada awal Julai lalu.
A
A
A

GUA MUSANG - Seekor harimau belang yang dipercayai menyerang seorang penduduk orang asli berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dalam satu operasi di Kampung Badak, Pos Bihai, di sini.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif dalam satu kenyataan berkata, tangkapan tersebut merupakan susulan kes serangan yang berlaku melibatkan seorang penduduk orang asli di kawasan berkenaan.

“Jabatan Perhilitan telah menjalankan siasatan awal, pemantauan serta pemasangan perangkap kamera di lokasi kejadian pada 7 hingga 9 Julai.

“Hasil pemantauan mendapati kehadiran harimau belang di kawasan berkenaan dan pada 12 Julai, seramai lapan kakitangan kami telah menjalankan operasi tangkapan dan pemasangan satu unit perangkap harimau dikenali sebagai “Perangkap Wahab” di kawasan kejadian,” katanya pada Sabtu.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki orang asli, Adin Andok, 43 tahun terpaksa menetak harimau belang menggunakan golok bagi menyelamatkan diri selepas diterkam haiwan berkenaan pada 7 Julai lalu dan dia dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mencuci kawasan kebun ubi kayu miliknya.

Mengulas lanjut, Ady Ermanty Haniff berkata, harimau yang dipercayai menyerang mangsa itu telah memasuki perangkap yang dipasang di kawasan berkenaan dan harimau tersebut mengalami kecederaan di kepala, tengah badan, leher dan juga ekor dipercayai luka akibat pergelutan dengan mangsa serangan.

Beliau berkata, operasi pemindahan harimau belang tersebut yang diberi gelaran “Syamilla Bihai” ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk rawatan lanjut telah dijalankan pada Jumaat.

“Operasi pemindahan ini diketuai oleh Pengarah Bahagian Ex-situ, Ahmad Azhar Mohammed, 11 kakitangan Jabatan Perhilitan Kelantan, tujuh kakitangan dari Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), tiga kakitangan bahagian Ex-Situ dan pertubuhan bukan kerajaan iaitu PELINDUNG Alam Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Jabatan Perhilitan akan terus menjalankan pemantauan dan kawalan di kawasan tersebut bagi menjamin keselamatan penduduk dan hidupan liar.

"Pihak kami juga akan membantu mangsa berkenaan dalam permohonan bantuan di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas yang disediakan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Orang ramai disaran supaya lebih berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan iaitu 1-800-88- 5151 atau e-aduan di www.wildlife.gov.my,” katanya.