X

Kindly register in order to view this article
!

Wartawan jenayah Belanda parah ditembak meninggal dunia

Peter R. de Vries yang cedera parah akibat ditembak di Amsterdam minggu lalu akhirnya meninggal dunia di sebuah hospital. - Foto AFP
A
A

THE HAGUE - Seorang wartawan jenayah, Peter R. de Vries yang cedera parah akibat ditembak di Amsterdam pada minggu lalu akhirnya meninggal dunia di sebuah hospital, kata keluarganya pada Khamis.

Wartawan ternama Belanda itu sebelum ini terlibat dalam satu kes mahkamah yang melibatkan salah seorang raja dadah yang dikehendaki di negara tersebut.

De Vries, 64, ditembak lima kali ketika dia baru keluar dari sebuah studio televisyen sepuluh hari lalu.

Dua lelaki yang dikenal pasti media Belanda sebagai Kamil E. 35 tahun dan Delano G, 21 tahun telah ditangkap oleh pihak berkuasa Belanda.

Polis menangkap kedua-dua suspek itu di dalam sebuah kereta dekat bandar raya The Hague selepas kejadian tembakan tersebut berlaku.

Media Belanda melaporkan seorang warga Poland, Kamil E yang tinggal di sebuah bandar Maurik dituduh memandu kereta tersebut manakala Delano G. dari Rotterdam dipercayai melepaskan tembakan ke arah wartawan tersebut.

Motif pembunuhan beliau masih belum diketahui.

Sebelum ini, wartawan itu pernah diberikan perlindungan oleh polis selepas beliau menerima ancaman bunuh berkaitan dengan penglibatannya dalam kes jenayah yang berprofil tinggi. - Agensi

ARTIKEL BERKAITAN: Wartawan jenayah terkenal Belanda cedera parah ditembak


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!