Tuntutan Sulu: Keputusan The Hague sahkan pendirian Malaysia

Azalina Othman Said
Azalina Othman Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague, Belanda pada Selasa yang menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan award akhir sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di negara itu yang dikatakan diperoleh melalui proses timbang tara, mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara itu tidak sepatutnya berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, permohonan sedemikian tidak sah sejak awal lagi dan award akhir yang dikatakan itu adalah terbatal.

"Pihak yang menuntut tidak boleh bergantung pada award akhir yang dikatakan itu untuk cuba merampas aset Malaysia di Belanda dan dengan penghakiman penting ini, sebarang percubaan oleh pihak menuntut dan pembiaya mereka akan menjadikan sia-sia untuk menguatkuasakannya di bidang kuasa lain,” kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berlepas pulang dari Vientiane, Laos mengumumkan keputusan Mahkamah Rayuan The Hague yang menolak permohonan kumpulan Sulu itu untuk mengiktiraf dan menguatkuasakan award akhir timbang tara sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) di Belanda.

Award akhir yang dikatakan diperoleh melalui proses timbang tara pada 29 Feb tahun lepas, dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa kepada lapan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

Dalam usaha mereka untuk menguatkuasakan award akhir sebanyak AS$14.9 bilion itu, kumpulan Sulu tersebut dilaporkan telah cuba menyita aset syarikat minyak Malaysia, Petronas di Luxembourg, aset di Belanda dan juga menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis (termasuk sebahagian daripada Kedutaannya).

Menurut Azalina, keputusan Mahkamah Rayuan The Hague itu menunjukkan pencapaian Malaysia dalam mencabar tindakan undang-undang untuk menghalang penguatkuasaan award yang dikatakan itu di peringkat global, yang merupakan ancaman kepada keseluruhan sistem timbang tara antarabangsa.

Pada masa yang sama, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mendapatkan bayaran kos yang diperintahkan terhadap pihak yang menuntut, berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun lepas yang menyokong tindakan Malaysia mencabar award awal Stampa sebelum ini mengenai bidang kuasa, kata beliau.

"Kerajaan akan memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan Malaysia dilindungi dan dipertahankan pada setiap masa,” kata Azalina.

Beliau berkata, keputusan sedemikian dibuat secara tegas berdasarkan tiga alasan termasuk tiada award akhir boleh diberikan secara sah kerana pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara oleh mahkamah Sepanyol yang melantiknya, yang seterusnya membatalkan semua tindakan prosedurnya.

"Oleh itu, tiada award timbang tara yang boleh diiktiraf dan dikuatkuasakan. Tribunal timbang tara juga tidak ditubuhkan dengan betul memandangkan pelantikan Stampa dibatalkan, yang membawa kepada penolakan permintaan pihak yang menuntut,” tambahnya.

Alasan kedua ialah tiada perjanjian timbang tara yang sah wujud menyebabkan tiada prosedur timbang tara boleh berlaku mengikut undang-undang.

"Tidak dapat dipastikan bahawa pihak-pihak berhasrat untuk menyelesaikan pertikaian melalui timbang tara, walaupun mereka berbuat demikian, klausa yang didakwa dirujuk oleh pihak yang menuntut dalam apa jua keadaan tidak berfungsi dan tidak boleh dipercayai,” kata Azalina.

Alasan terakhir ialah penangguhan penguatkuasaan yang luar biasa bagi award akhir yang dikatakan di Paris adalah alasan lanjut untuk penolakan yang menyebabkan award itu tidak mendapat pengiktirafan dan penguatkuasaan di Belanda, katanya. - Bernama