X

Kindly register in order to view this article
!

Pesara tentera ditemui rentung dalam van

Pasukan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia memeriksa van yang terbakar.
A
A

KOTA BHARU - Penduduk tidak menyangka bunyi letupan dan kepulan asap hitam yang dilihat di satu kawasan bendang di Kampung Bechah Keranji, Peringat di sini pada Rabu membongkar kematian tragis seorang pesara tentera.

Mayat dipercayai Ibrahim Mohd Nor, 59, ditemui dalam keadaan rentung di tempat duduk pemandu dalam sebuah van yang hangus di kawasan itu pada jam 4 petang Khamis.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asistan Komisioner, Abdullah Mohammed Piah berkata, lokasi penemuan mayat terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Menurut beliau, mayat mangsa ditemui seorang penduduk di kawasan itu yang kebetulan ke bendang untuk melihat padinya, namun ternampak sebuah van hangus dalam kawasan semak.

“Apabila mendekati van, dia melihat ada mayat yang sudah rentung 100 peratus di tempat duduk pemandu dan segera menghubungi polis.

“Berdasarkan keterangan penduduk yang tinggal berhampiran lokasi, mereka ada mendengar bunyi letupan dan melihat kepulan asap hitam, namun menyangkakan kebakaran biasa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada lewat petang Khamis.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud.

Abdullah berkata, mangsa memiliki kad pesakit orang kurang upaya (OKU) mental dan mengalami kemurungan sejak sekian lama.

“Berdasarkan keterangan daripada anaknya, mangsa mengalami kemurungan melampau bermula awal tahun ini selepas kematian bapa mentuanya.

“Bapanya itu keluar dari rumah sejak petang semalam dan dikatakan mengisi penuh minyak petrol ke dalam tangki van tersebut,” katanya.

Tambah beliau, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian dan pengecaman identiti.

“Punca kematian dan kebakaran masih dalam siasatan. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Amin Ibrahim, 19, berkata, dia sekeluarga berusaha mencari bapanya di sekitar kampung pada tengah malam Rabu.

“Ayah keluar menaiki van pada jam 5 tetapi tidak pulang sehingga waktu malam.

“Saya cuba membuat hebahan orang hilang dan mencarinya sebelum diberitahu menjumpai van milik ayah bersama mayat rentung di kawasan ini,” katanya.

Berita kehilangan warga emas terbabit turut tular di media sosial sejak Rabu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!