Kerajaan akan lancar Dasar Tenaga Negara tidak lama lagi

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan melancarkan Dasar Tenaga Negara tidak lama lagi sebagai panduan kepada pembangunan sektor tenaga Malaysia, terutamanya dalam peralihan industri kepada masa depan rendah karbon, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 memberi peluang kepada industri tenaga untuk melaksanakan perubahan yang besar dan menerapkan kemampanan dengan mengamalkan kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) walaupun terjejas oleh pandemik.

“Di peringkat global, permintaan terhadap dana ESG meningkat 29 peratus kepada hampir AS$1.7 trilion (AS$1=RM4.19) pada suku akhir 2020,” katanya dalam ucapan pada siri pertama Forum Kemampanan OGSE Kebangsaan yang diadakan secara maya pada Khamis.

Selain Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 yang dilancarkan baru-baru ini, Dasar Tenaga Negara turut penting yang membolehkan perniagaan OGSE membuat keputusan hari ini untuk membantu membentuk masa depan yang lebih bersih dan mampan untuk generasi akan datang.

Pada masa ini, hanya terdapat 32 syarikat OGSE tempatan yang melaksanakan pelaporan kemampanan.

Mustapa berkata, amalan yang rendah menunjukkan kesedaran mengenai ESG kekal tidak sekata dalam kalangan penggiat OGSE - malah dalam kalangan syarikat senaraian awam - terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi mempersiapkan industri OGSE untuk perjalanan ESG, beliau berkata, para penggiat perlu melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang tepat untuk menempuh perjalanan di hadapan.

Katanya, industri perlu seiring dengan standard yang berubah-ubah, dan hari ini, bermakna menyepadukan ESG dalam amalan perniagaan akan kekal relevan dan kompetitif.

Artikel Berkaitan:

“Kita berdepan dengan realiti bahawa mereka yang enggan berubah – atau berubah terlalu perlahan – mungkin akan ketinggalan atau tenggelam oleh persaingan,” katanya.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd Yazid Ja’afar berkata, industri minyak dan gas (O&G) mempunyai lebih banyak tekanan untuk mematuhi keperluan ESG berikutan penggiat berada dalam penilaian yang tinggi berikutan sifat operasi mereka yang boleh memberi impak negatif kepada alam sekitar dan orang ramai secara amnya.

“Malah, dalam kad laporan industri ESG untuk O&G yang diterbitkan oleh S&P Global Ratings pada Februari tahun lepas, sektor itu mempunyai pendedahan negatif yang tinggi terhadap faktor alam sekitar dan sosial dalam jangka pendek, sederhana dan panjang,” katanya dalam pembentangannya pada forum tersebut.

Bagaimanapun, Mohd Yazid berkata, bukan mudah bagi syarikat untuk melaksanakan amalan mampan terutamanya untuk syarikat OGSE berikutan antara lainnya, pelaporan dan penilaian yang rumit.

“Kami menyedari cabaran yang dihadapi oleh syarikat untuk mengamalkan konsep kemampanan ini tetapi ini merupakan langkah penting dalam usaha untuk mentransformasikan sektor ini menjadi kukuh dan berdaya tahan,” katanya, sambil menambah MPRC akan mengenal pasti inisiatif dan kerjasama untuk memastikan pelaksanaan amalan kemampanan yang lebih menyeluruh untuk sektor tersebut.

Forum Kemampanan OGSE Kebangsaan setengah hari itu merupakan anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri dan MPRC. - Bernama