X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Kes Guan Eng: Saksi beritahu CZBUCG terima markah penilaian tertinggi

Lim Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadiri prosiding kes rasuah berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini diberitahu bahawa syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) mendapat markah penilaian tertinggi dalam tender bagi projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Bekas Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Datuk Lim Hock Seng yang juga saksi pendakwaan ketiga berkata demikian ketika prosiding kes rasuah berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang membabit bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ketika membaca pernyataan saksi, Hock Seng, 73, berkata, CZBUCG mendapat syor oleh Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan kerana berjaya melepasi syarat-syarat dalam permohonan untuk cadangan (RFP).

Atas sebab itu juga, katanya, Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang memperakukan dan bersetuju untuk melantik CZBUCG.

“Perkara ini kemudiannya diangkatkan kepada Exco Negeri untuk kelulusan yang mana tujuan pembentangan itu adalah untuk pertimbangan CZBUCG untuk projek tiga jalan utama dan terowong.

“Semasa peringkat RFP, CZBUCG telah ditubuhkan atas gabungan syarikat Zenith BUCG, Juteras Sdn Bhd dan Sri Tinggi Sdn Bhd,” katanya.

Dalam pada itu, Hock Seng yang juga bekas Ahli Parlimen Bagan (DAP) berkata, pada November 2012, hanya 32 syarikat tempatan dan 16 syarikat asing yang hadir pra kelayakan manakala 12 syarikat pada 14 Disember 2011, yang menjadikan jumlah keseluruhan adalah 60 syarikat.

“Selesai taklimat, 11 syarikat yang hadir akan dinilai oleh Jawatankuasa Teknikal dan Kewangan yang di pengerusikan oleh Pegawai Kewangan Negeri iaitu Datuk Mokhtar Jait.

“Kemudian, sebanyak lapan syarikat layak untuk mengambil bahagian dalam RFP iaitu China State Construction Engineering Corporation Ltd & VST Cemerlang Sdn Bhd, Setia Precast Sdn Bhd, ECK Construction Sdn Bhd, Gamuda Berhad, Zambina Wawasan Sdn Bhd, IJM-CRGL Joint Ventures, Consortium Zenith BUCG Juteras & Sri Tinggi JV dan WCT Daewoo Joint Ventures,” katanya.

Setelah lapan syarikat itu tersebut berjaya melepasi syarat-syarat pra kelayakan beliau berkata, mereka menerima dokumen RFP daripada pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Nik Haslini Hashim dan Farah Yasmin Mohd Salleh manakala Guan Eng diwakili peguam bela, Gobind Singh Deo.

Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi disambung esok.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!