Azmi Juta didakwa palsukan dokumen

Azmi tiba di Mahkamah Taiping atas pertuduhan memalsukan dokumen, hari ini.
Azmi tiba di Mahkamah Taiping atas pertuduhan memalsukan dokumen, hari ini.
A
A
A

TAIPING - Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini, atas pertuduhan memalsukan dokumen bagi mendapatkan pinjaman berjumlah RM1.39 juta, 16 tahun lalu.

Azmi Ismail atau dikenali sebagai Azmi Juta, 53, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Noralashiken Abd Razak.

Tertuduh didakwa melakukan pemalsuan surat berupa cagaran berharga iaitu satu Istisna’s Sale Agreement dan menggunakannya untuk membuat permohonan pinjaman di Bank Muamalat Cawangan Taiping berjumlah RM 1,395,700.44 dengan niat menyebabkan kerugian kepada pihak bank.

Dia melakukan kesalahan itu di sebuah firma guaman di Medan, Taiping, pada jam 2.35 petang, 19 Februari 2003.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Azrul Faidz manakala tertuduh diwakili peguam P Ravee.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan berjumlah RM30,000 dengan dua penjamin. Noralashiken turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di Balai Polis Taiping setiap bulan. Kes disebut semula pada 18 April depan.

Artikel Berkaitan: