Polis jumpa syabu RM2.1 juta dalam bot

Dua buah bot berlanggar dalam kejadian pada 6 Julai lalu di Pengkalan Jeti Kuala Muda, Sungai Kuala Muda.
Dua buah bot berlanggar dalam kejadian pada 6 Julai lalu di Pengkalan Jeti Kuala Muda, Sungai Kuala Muda.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang merampas 60 kilogram (kg) syabu bernilai RM2.1 juta pada 6 Julai lalu selepas berlaku pelanggaran antara dua buah bot nelayan di kawasan Sungai Kuala Muda, Penaga.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dadah tersebut ditemui di dalam salah sebuah bot selepas pemeriksaan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara.

Beliau memberitahu, sebelum itu polis menerima maklumat berhubung seorang awak-awak terjatuh ke dalam sungai akibat pelanggaran bot.

"Susulan itu, kita memeriksa salah sebuah bot dan menjumpai 60kg syabu. Bot tersebut dinaiki tiga individu iaitu seorang tekong dan dua awak-awak.

"Polis kemudian menahan dua lelaki berusia 38 dan 42 tahun yang berada di dalam bot manakala awak-awak yang terjatuh ke dalam sungai belum ditemui.

"Bagaimanapun, selepas tiga hari lelaki itu belum dijumpai dan mungkin telah melarikan diri," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Mohd Shuhaily memberitahu, susulan itu juga polis menyita dua buah kereta dan lima buah motosikal bernilai RM56,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki hilang dalam nahas dua bot bertembung

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, bot tersebut berlanggar dengan bot nelayan lain yang dinaiki seorang tekong serta empat awak-awak dan mereka akan dipanggil membantu siasatan jika diperlukan.

Beliau berkata, sindiket itu berperanan sebagai tukang angkut untuk sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

"Mereka ditugaskan membawa dadah berkenaan dengan menjalankan urusniaga di kawasan perairan antarabangsa sebelum menghantar bekalan ke negara jiran.

"Siasatan mendapati, ketika kejadian, mereka baru mendapat bekalan syabu tersebut. Kesemua dadah itu untuk pasaran negara jiran dan suspek juga merupakan rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, polis kini sedang mengesan dua lagi lelaki termasuk suspek yang terjatuh ke dalam sungai itu.

"Dua lelaki tersebut adalah Muhammad Azim Zahari, 19, dan Mohd Azha Tajuddin, 32.

"Kesemua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 600,000 penagih. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.