Sila log masuk terlebih dahulu.

Bapa tiga anak tidak mengaku terima wang pelaburan RM125,000

Iskandar (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini, pada Rabu.
Iskandar (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Bapa tiga anak berdepan hukuman denda sehingga RM150 juta di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh pada Rabu, atas tiga pertuduhan menerima wang deposit pelaburan tidak wujud berjumlah RM125,000.

Iskandar Isahak, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Berdasarkan pertuduhan satu hingga tiga, tertuduh didakwa telah menerima wang deposit pelaburan daripada tiga individu berjumlah keseluruhan RM125,000.

Kesemua wang itu dimasukkan ke dalam akaun CIMB atas nama syarikat I Usahawan Global Berhad milik tertuduh tanpa suatu lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Jalan Hang Tuah dalam daerah Melaka Tengah antara 10 Mei 2016 sehingga 27 Jun 2016.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda RM50 juta atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Wahidah Mohamad tidak menawarkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jumlah sebanyak RM70,000 diberikan bagi setiap pertuduhan.

Peguam Zulhelmi Wagiman mewakili tertuduh merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya kini tidak mempunyai pekerjaan dan bergantung harap dengan pendapatan anak sulung.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.

Tertuduh juga tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain mahkamah menetapkan tarikh 16 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Dalam prosiding berlainan, tertuduh juga mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Lee Kim Keat atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki dengan tawaran program pembelian motosikal berkuasa tinggi tidak wujud sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan cek bernilai RM32,000.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Durian Daun dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Oktober 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda.

Mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM1,500 dan menetapkan 14 September depan sebagai sebutan semula kes.