TMJ mahu PPV, pegawai perubatan ditambah di Johor

Tunku Ismail (tengah) diberi taklimat tentang operasi selain memeriksa proses pengedaran vaksin Covid-19 di PPV semasa melawat Hospital Permai, Johor Bahru, pada Rabu. - Foto Facebook HRH Crown Prince of Johor
Tunku Ismail (tengah) diberi taklimat tentang operasi selain memeriksa proses pengedaran vaksin Covid-19 di PPV semasa melawat Hospital Permai, Johor Bahru, pada Rabu. - Foto Facebook HRH Crown Prince of Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu bilangan lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan pegawai-pegawai perubatan ditambah bagi mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Tunku Ismail juga menasihatkan agar proses logistik pengedaran vaksin ke PPV di negeri ini dipercepatkan supaya bekalan vaksin sentiasa mencukupi.

"Sukacita ingin saya maklumkan bahawa sebanyak 83 peratus Bangsa Johor telah berjaya mendaftar untuk menerima vaksin.

"Bagi mereka yang belum, saya ingin menyeru kepada anda untuk mendaftar secepat mungkin.

"Saya ulangi, jika imuniti kelompok dapat dicapai, maka pemulihan ekonomi Johor dapat bermula," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi pada Rabu.

Kenyataan tersebut turut dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

Tunku Mahkota Johor melawat Hospital Permai di sini pada Rabu untuk memeriksa proses pengedaran vaksin Covid-19 ke PPV di Johor.

Tunku Ismail juga mengadakan perbincangan dengan Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Mohd Noh Ibrahim, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan dan Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah menitahkan agar program vaksinasi di semua daerah di Johor diberi keutamaan supaya imuniti kelompok boleh dicapai secepat mungkin.

"Saya juga sempat menyaksikan penerimaan bekalan vaksin Pfizer yang akan diedarkan ke PPV dalam masa terdekat," ujar Tunku Ismail.

Tunku Mahkota Johor mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan Malaysia kerana memberi Kerjasama untuk mempercepatkan program vaksinasi di semua daerah di Johor.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para barisan hadapan atas khidmat dan pengorbanan anda semua dalam menyelamatkan nyawa rakyat. Semoga ALLAH sentiasa melindungi dan merahmati para barisan hadapan," katanya.