Pasar Awam Mak Mandin ditutup

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Pasar Awam Mak Mandin di sini ditutup selepas terdapat kes positif Covid-19 yang melibatkan peniaga telah direkodkan.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) telah turun ke pasar awam terbabit bagi menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan itu pihak PKD SPU berpuas hati dan menetapkan Pasar Awam Mak Mandin ditutup bermula hari ini sehingga 22 Julai depan atau tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

"Penutupan ini bagi membolehkan pihak PKD SPU meneruskan siasatan pengesanan kontak rapat dan menjalankan aktiviti saringan serta kerja-kerja sanitasi di tapak.

"Ia akan melibatkan keseluruhan 62 peniaga yang menjalankan perniagaan termasuklah sembilan orang petugas MBSP yang bertugas di sana yang akan turut disaring," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Rozali menyeru agar mana-mana peniaga, pembantu dan orang awam yang telah dikenalpasti sebagai kontak rapat diminta untuk menjalankan ujian calitan pada kadar segera atau menghubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah SPU di talian 04-5751 833 bagi mendapatkan temujanji.

Selain itu, katanya mana-mana peniaga yang ingin menjalankan ujian calitan juga boleh berbuat demikian di mana-mana klinik swasta dan memaklumkan kepada MBSP hasil keputusan yang diperoleh untuk tujuan rekod serta perancangan selanjutnya.

"Semua peniaga juga diingatkan agar mematuhi arahan penutupan pasar awam ini dan tidak dibenarkan berniaga sehingga 22 Julai atau hingga dimaklumkan kelak.

Artikel Berkaitan:

"Pihak MBSP juga ingin menegaskan sekiranya mana-mana peniaga yang diminta untuk hadir ujian calitan atau gagal menghubungi Bilik Gerakan PKD SPU, satu operasi bersepadu melibatkan pihak MBSP, PDRM dan KKM akan digerakkan untuk mengesan serta mencari mereka yang terbabit dari rumah ke rumah sekiranya diperlukan," katanya.

Tambahnya, pasukan operasi bersepadu ini akan mengemukakan notis kepada peniaga-peniaga tersebut supaya segera menghubungi Bilik Gerakan PKD SPU untuk temujanji.

Beliau berkata, sekiranya mereka engkar, tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).