Covid-19: PKRC MAEPS 2.0 dijadikan hospital bersepadu

Datuk Seri Dr Adham Baba
Datuk Seri Dr Adham Baba
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadikan Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS) 2.0 sebagai hospital bersepadu bagi memperluaskan lagi skop perkhidmatan kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia berfungsi sama seperti hospital kerajaan lain untuk memberikan rawatan pemulihan kecemasan kes Covid-19 bagi kategori tiga dan empat dengan menambah kapasiti oksigen kepada lebih 1,500 pesakit.

“Pada masa ini, terdapat sebanyak 8,888 buah katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS 2.0 bagi tujuan tersebut.

“Kita turut menambah kapasiti rawatan kecemasan khususnya di Selangor dengan meningkatkan lagi jumlah katil kecemasan daripada 486 kepada 591 buah katil,” katanya dalam sidang akhbar khas secara maya pada Selasa.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dan Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Projek Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF), Datuk Dr Chong Chee Keong.

Dr Adham berkata, KKM turut menambah kapasiti rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital daripada 280 kepada 349 buah katil di Selangor, manakala daripada 90 kepada 117 di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Beliau berkata, jumlah bekalan oksigen di seluruh Selangor pada masa ini berjumlah 6,391 buah port dan tangki dengan pencapaian penggunaan sebanyak 3,413 buah.

“Bagi meningkatkan lagi kapasiti oksigen di PKRC MAEPS yang dijadikan sebagai hospital bersepadu dalam rawatan Covid-19, penambahan sebanyak 1,000 tangki oksigen serta 1,000 ‘oxygen concentrator’ telah dilakukan,” katanya.

Artikel Berkaitan: