X

Kindly register in order to view this article
!

Kebimbangan varian Delta kalis vaksin

Varian Delta dikesan di India sebelum merebak dengan cepat ke banyak negara lain. Gambar kecil: Dr Sazaly
A
A

SHAH ALAM - Varian Delta kini sedang menghantui hampir 100 buah negara sejak empat bulan lalu sekali gus menjadi varian dominan Covid-19 baharu yang menjadi ancaman negara besar seperti England, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

Tidak terkecuali Malaysia, varian yang berasal dari India itu turun dikesan apabila mengikut data bertarikh 2 Julai lalu, sebanyak 80 kes telah dilaporkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga memberi amaran bahawa dunia kini dalam tempoh sangat bahaya ketika mendepani pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi varian Delta terus menular dan bermutasi.

Bagaimanapun pakar-pakar antarabangsa kini dalam dilema tentang kemungkinan vaksin sedia ada kurang berkesan terhadap jangkitan yang disebabkan oleh varian Delta berbanding strain Covid-19 yang lain.

Portal FirstPost dalam laporannya baru-baru ini melaporkan varian Delta lapan kali kurang sensitif terhadap vaksin antibodi Covid dan lebih mudah berjangkit daripada strain Wuhan.

CNN pula melaporkan dengan tersebarnya varian Delta, para pakar berbeza pendapat sama ada mahu menjalankan ujian Covid-19 terhadap mereka yang telah divaksin.

Dalam pada itu di Malaysia, pakar virologi yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika Universiti Malaya, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar menjelaskan, secara asasnya vaksin yang dibangunkan pada hari ini menggunakan varian awal yang berasal dari Wuhan, China iaitu lokasi pertama penularan virus Covid-19.

“Virus itu tetap sama cuma berubah sedikit sahaja. Contohnya kalau kita ada lima jari, tetapi satu jari lain sedikit bentuknya.

“Keberkesanan vaksin kurang sedikit tetapi masih berkesan dan tidaklah sampai memberi impak kepada kebolehan melindung. Yang pentingnya perlu mengambil dua dos,” katanya kepada Sinar Harian.

Varian yang memiliki nama lain iaitu B.1.617.2, pertama kali dikesan pada akhir tahun 2020 di India.

Mutasi varian dari Wuhan dikhuatiri menyebabkan individu yang disuntikan vaksin masih berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.
Mutasi varian dari Wuhan dikhuatiri menyebabkan individu yang disuntikan vaksin masih berisiko tinggi dijangkiti Covid-19.

Selang empat bulan selepas ia dikesan, varian ini menjadi penyebab gelombang jangkitan Covid-19 di India dan dua bulan kemudian, menurut data WHO, Delta telah menyebar ke lebih daripada 80 negara.

Varian Delta kini menyumbang separuh daripada jumlah jangkitan di setiap kawasan di AS dan Presiden AS, Joe Biden telah menggesa rakyatnya yang masih tidak menerima suntikan vaksin untuk mengambilnya kerana kebolehjangkitan yang tinggi serta mendatangkan lebih risiko jangkitan.

Pakar kesihatan Eropah pula menegaskan langkah menyekat penularan varian Delta sudah terlambat dan tidak mampu disekat lagi.

Kesatuan Eropah turut menyatakan kebimbangan penularan varian Delta di mana varian itu 60 peratus lebih kuat berbanding strain lain sekali gus menyebabkan lebih banyak kemasukan ke hospital dan mengurangkan sedikit keberkesanan vaksin.

Sepanyol dan Portugal juga melaporkan peningkatan kes varian Delta seperti Poland, Rusia, Switzerland dan Turki.

Biarpun begitu, pakar kesihatan AS mahupun Eropah senada bahawa vaksin mampu untuk menghalang pesakit daripada menerima kesan yang teruk.

Mengulas lanjut Dr Sazaly menegaskan, Malaysia perlu mengambil pengajaran terhadap apa yang berlaku di Eropah dan AS sekiranya mahu membuat lebih kelonggaran terhadap semua sektor sedangkan tahap imunisasi kelompok negara masih di tahap rendah.

Malah menurutnya, orang ramai perlu mengubah mentaliti mengatakan vaksin mampu membuatkan diri kebal daripada Covid-19 sebaliknya ia hanya membantu mengurangkan simptom yang teruk akibat jangkitan.

“Apabila seseorang itu telah divaksin, mereka tidak kebal. Masalah kita di Malaysia ini apabila sudah divaksin, mereka tidak mahu menggunakan pelitup muka. Tidak mahu membuat penjarakan fizikal, dengan alasan mereka sudah kebal.

“Ini yang terjadi di United Kingdom. Kalau kita tengok masalah yang mereka hadapi dengan varian Delta ini, apabila mereka mencapai kelompok imuniti yang tinggi iaitu hampir 70 peratus, mereka buka semua sektor.

“Tidak perlu pelitup muka, tidak perlu penjarakan fizikal. Mereka sudah bebas. Begitu juga di AS. Disebabkan itu, kes positif varian Delta mereka melonjak naik,” katanya.

INFO

- Varian Alpha

Nama lain - B.1.17

Mula dikesan di United Kingdom, September 2020

Kadar kebolehjangkitan varian Alpha adalah antara 4 hingga 5 orang

- Varian Beta

Nama lain B.1.351, B.1351.2, B.1351.3

Mula dikesan di Afrika Selatan, Mei 2020

Kadar jangkitan lebih 50 peratus daripada varian asal Wuhan

- Varian Delta (B.1.617.2, AY.1, AY.2)

Mula dikesan di India, Oktober 2020

Kadar kebolehjangkitan varian Delta adalah antara 5 hingga 8 orang

Statistik kes mengikut varian di Malaysia (Sehingga 30 Jun 2021)

Alpha 11 kes

Beta 47 kes

Delta 80 kes


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!