Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin strategi Muhyiddin selamatkan diri

SAIFUDDIN NASUTION
SAIFUDDIN NASUTION
A
A
A

SHAH ALAM - Pelantikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri, yang mengetuai Kluster Keselamatan disifatkan sebagai langkah untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin menyelamatkan diri sendiri.

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada masa sama tindakan UMNO menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) tidak berkaitan langsung dengan usaha melawan Covid-19.

"Ketika inilah tetiba UMNO tarik sokongan kepada PM (Perdana Menteri). Dek tergugat dan bimbang hilang kuasa dan takut kerajaan tumbang, PM lantik Ismail Sabri jadi TPM dan Hisham menteri kanan!

"TPM baru pun berpesan... Usah berpolitik, tumpu lawan covid," katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurutnya, Ismail Sabri juga dinasihatkan menyampaikan pesanan yang sama kepada PM, rakan-rakan dalam PN dan seangkatannya.

"Pandemik Covid-19 sudah masuk tahun kedua dan dalam tempoh itu kerajaan berkuasa penuh membuat dasar, memulih ekonomi sehingga mengisytiharkan darurat.

"Parlimen tutup tiada lagi semak imbang. Dalam tempoh ini kerajaan boleh buat undang-undang tanpa perlu Parlimen. Kerajaan boleh berbelanja tanpa perlu Parlimen.

"Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh buat apa sahaja. Rakyat hanya terima. Tak kira yang sokong atau tidak, kena terima. Disuruh duduk rumah, tak boleh rentas negeri, daerah, tak boleh pergi kerja, tak boleh balik beraya, tak boleh ziarah ibu bapa rakyat patuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, tindakan yang dilakukan kerajaaan tidak menampakkan hasil.

"Kes positif harian meningkat, kes positif petugas baris hadapan meningkat, kes kematian meningkat, katil hospital tak cukup, bekalan tong oksigen tak cukup, jumlah katil di unit rawatan rapi (ICU) tak cukup dan vaksinasi lembab tak capai sasaran.

"Keadaan ekonomi terus lemah, rakyat hilang kerja dan hilang pendapatan, anak-anak sekolah kelam-kabut dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan kes bunuh diri meningkat," katanya.