Rokok seludup bernilai lebih RM1 juta dirampas

Zazuli (tengah) menunjukkan hasil rampasan di dalam kontena terbabit.
Zazuli (tengah) menunjukkan hasil rampasan di dalam kontena terbabit.
A
A
A

KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup rokok di dalam sebuah kontena dengan nilai rampasan lebih RM1 juta di Pelabuhan Klang, Selangor pada 16 Jun lalu.

Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zazuli Johan berkata, hasil maklumat awam dan risikan, JKDM menyita kontena berkenaan yang diisytiharkan sebagai kargo am untuk mengelak daripada dikenakan duti cukai yang tinggi.

“Pemeriksaan mendapati kontena tersebut bermuatan 10,900,000 batang rokok putih yang dianggarkan bernilai RM1,090,000 yang melibatkan cukai sebanyak RM7,303,000

“Modus operandi kes ini ialah dengan mengikrar dagangan sebagai 'general cargoes' dalam daftar masuk untuk mengelakkan daripada permit import semasa pengimportan dan bagi mengelakkan dikenakan duti cukai yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Zazuli berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan) 2019 kerana mengimport rokok tanpa permit yang membawa hukuman denda 20 kali ganda nilai barang atau penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Pada masa sama, beliau turut menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan penyeludupan untuk menghubungi JKDM di talian 1-800-88-8855 atau ke pejabat kastam terdekat malah identiti pengadu akan dirahsiakan.

Artikel Berkaitan: