X

Kindly register in order to view this article
!

Shopee bantu perusahaan mikro sokong petani, nelayan

A
A

BERDASARKAN niat murninya untuk membantu penduduk kampung yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang guru sains dari Sabak Bernam, Selangor, yang bakal bersara tidak lama lagi telah mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam perniagaan menjual sambal pecal menerusi platform e-dagang Shopee, di samping meneruskan tugasan hakikinya mengajar dari rumah.

Selain membantu meringankan bebanan perbelanjaan keluarganya yang semakin meningkat, Mohd Ghazali Anuar, 56, berkata, beliau mahu menjual produk yang bersumberkan daripada hasil petani di kampungnya yang sekali gus dapat membantu meningkatkan mata pencarian mereka serta golongan asnaf.

“Selain membuat persediaan bagi program pengajaran dan pembelajaran dari rumah, tidak banyak benda yang saya boleh lakukan di rumah. Oleh itu, saya memutuskan untuk mengisi masa lapang saya dengan menjual sambal pecal di Shopee dengan bantuan isteri saya Hafizoturrafiah Supeni,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ghazali membelanjakan kira-kira RM500 untuk membeli bahan mentah seperti cili, bawang dan kacang daripada penduduk kampungnya dan apa yang menerujakannya adalah beliau berjaya menjual lebih 10 botol dalam masa sebulan perniagaannya Baiworld Kitchen beroperasi di Shopee.

Menurutnya, jualannya meningkat enam kali ganda selepas beliau menggunakan beberapa ciri-ciri ganjaran yang disediakan kepada penjual seperti ‘Shopee Ads’, ‘Coin Cashback’ dan ‘Free Shipping’.

Bagi mempelbagaikan lagi produk buatan sendirinya, Ghazali dan isteri juga menghasilkan kudapan seperti Kerepek Peria Crispy Ustazah Hafiza dan Kerepek Pegaga Crispy Ustazah Hafiza kerana peria dan pegaga adalah antara hasil tanaman yang sukar dijual oleh petani.

“Jadi, kami mahu membantu mereka,” katanya sambil menambah beliau membeli purata 400 kilogram peria daripada petani di kampungnya setiap minggu.

Dengan purata jualan kira-kira RM30,000 sebulan yang diraihnya, Ghazali mahu menyumbang kembali kepada masyarakat dengan membeli hasil tanaman petani pada harga yang tinggi sedikit daripada harga pasaran.

“Saya juga mengupah dua pembantu daripada golongan asnaf dari kampung saya dan merancang untuk mengupah dua orang lagi pada masa depan bagi menampung peningkatan permintaan daripada pelanggan,” katanya.

Seorang lagi usahawan dari Terengganu, Ermie Adnan, 34, berkata, beliau mengalihkan perniagaan keropok lekornya daripada laman Facebook ke platform Shopee pada Hari Raya Puasa tahun lepas dan sejak itu perniagaannya terus mencatatkan kejayaan dan meraih jualan kira-kira RM25,000 sebulan.

Ermie, yang sebelum ini bekerja dalam industri minyak dan gas, kini menghasilkan keropok lekor daripada ikan yang diperoleh terus daripada nelayan di Johor, Kelantan dan Terengganu.

“Produk saya habis dijual dalam masa empat hari selepas saya membuka kedai di Shopee, Lekor Pok Loh. Saya menerima pesanan dari seluruh Malaysia sehingga sejauh Sabah dan Sarawak.

“Sekarang ini kami terpaksa mengehadkan jumlah pesanan setiap hari berikutan kekurangan bahan mentah. Kami menghasilkan produk mengikut pesanan bagi mengekalkan kesegarannya,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan (Pembangunan Perniagaan) Shopee Malaysia Zed Li berkata, perkongsian kisah tersebut juga bukanlah sesuatu yang terpencil.

“Kami juga tahu mengenai banyak lagi kisah positif mengenai ada kehidupan peniaga yang berubah dengan impak kecil mahupun besar ke atas masyarakat.

“Ada kisah mengenai kalangan ibu tunggal, ketua keluarga yang hilang pekerjaan, suri rumah yang mahu membantu menampung perbelanjaan keperluan rumah, belia menganggur, kalangan orang kurang upaya yang beralih memanfaatkan Shopee (sebagai platform) untuk mendapatkan sumber mata pencarian demi diri sendiri, keluarga, rakan dan masyarakat.

“Mereka turut bertindak mengambil pekerja yang sekali gus membuka peluang pekerjaan,” katanya.

Sejajar usaha untuk membantu lebih ramai penjual di Shopee, platform itu turut menjadi penaja bersama Kempen ‘Go eCommerce Onboarding’ (Memanfaatkan e-Dagang) bersama Kementerian Kewangan dan Malaysia Digital Economy Corporation bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan usahawan berniaga secara dalam talian.

“Dalam inisiatif ‘Go eCommerce’ ini, kami akan menyediakan manfaat sehingga RM3,000 kepada penjual sedia ada dan baharu untuk membolehkan mereka menebus baucar kedai, menyertai program ganjaran ‘Coins Cashback’ serta penghantaran percuma,” katanya.

Li berkata, bantuan itu berserta dengan pendedahan pemasaran yang disediakan oleh Shopee, dapat membantu dari segi mengetengahkan kedai peniaga selain menggalakkan pembeli mendapatkan produk jualan tersebut.

Program itu dibuka kepada 60,000 penjual berdaftar Shopee dan warganegara Malaysia atau PMKS mengikut takrifan SME Corporation Malaysia.

Menurutnya, antara syarat kelayakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah lebih 50 peratus pegangan kepentingannya dimiliki oleh rakyat atau entiti tempatan manakala jumlah jualan bulanan tidak melebihi RM4 juta.

Program tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif e-dagang Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) tahun lepas dan dikenali sebagai Kempen e-Dagang PMKS yang menyaksikan lebih 40,000 PMKS beralih kepada digital dalam kempen pada Julai-September 2020.

Mereka yang berminat boleh memohon menerusi shopee.com.my/goecommerce mulai sekarang sehingga 30 Nov, 2021. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!