Pelan tindakan aeroangkasa Selangor fokus tujuh bidang utama

Amirudin ketika berucap pada Townhall Selangor Aerospace Action Plan Invest Selangor, di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, hari ini.
Amirudin ketika berucap pada Townhall Selangor Aerospace Action Plan Invest Selangor, di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, hari ini.
A
A
A

PETALING JAYA - Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor menyasarkan tujuh bidang - infrastruktur, undang-undang, akses pasaran, insentif, pembiayaan, pendidikan dan latihan dalam mengukuhkan ekosistem industri aeroangkasa di negeri itu.

Pelan itu telah dibentangkan oleh syarikat penyelidikan pasaran, Frost dan Sullivan (Australia) Pty Ltd (Frost and Sullivan) di Sesi Pendengaran Awam Pelan Tindakan Aeroangkasa Selangor 2019 di sini hari ini.

“Berdasarkan percakapan orang ramai di jalanan, infrastruktur sedia ada merentasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (sebagai contoh) sekarang tidak mencapai standard yang memuaskan dan kita harus membangkitkan isu itu,” kata Pengarah Bersekutu Aeroangkasa, Pertahanan dan Keselamatan (Sektor Awam dan Kerajaan) Frost and Sullivan, Amartya De.

Bercakap kepada pemberita di luar acara itu, beliau berkata taman aeroangkasa memerlukan lebih banyak ruang hangar dan landasan yang lebih baik.

"Sebaik sahaja isu itu diutarakan oleh kerajaan negeri, ia akan lebih selaras dengan industri dan mampu menarik lebih banyak syarikat asing ke negeri (Selangor) ini.

"Kita juga boleh menjadi seperti Filipina yang menempatkan syarikat penerbangan Jerman, Lufthansa atau syarikat multinasional Amerika Syarikat, Boeing, terutama dalam penyelenggaraan, pembaikan dan baikpulih (MRO)," katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari berkata kerajaan negeri sedang memperluas sektor MRO dalam usaha menjadikannya sebagai pintu masuk industri aeroangkasa dan penerbangan ke negara-negara Asia.

Beliau berkata kerajaan negeri ketika ini sedang berunding dengan syarikat-syarikat antarabangsa untuk memujuk mereka memindahkan beberapa aktiviti operasi mereka ke Selangor termasuk kawasan sekitar Lapangan Terbang Subang, Serendah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai prospek industri aeroangkasa Malaysia, Amartya berkata ia mencatatkan petanda positif tetapi mencadangkan agar Malaysia lebih menumpukan perhatian terhadap sektor MRO.

"Sektor pembuatan aeroangkasa telah berkembang sebanyak 30 peratus dalam tempoh tujuh tahun lepas tetapi industri MRO hanya berkembang antara empat dan lima peratus," katanya sambil menambah bahawa pertumbuhan yang perlahan menunjukkan keperluan untuk memberi lebih perhatian pada sektor itu. - Bernama